9 sekolah sedia jadi Pusat Pemindahan Kekal Bencana - KPM
RANTAU PANJANG - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan sembilan buah sekolah sudah bersedia untuk menjadi Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) pada masa hadapan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM melibat PPKB itu akan memberi manfaat cukup besar kepada rakyat apabila berlaku bencana seperti banjir nanti.
"PPKB ini memerlukan persiapan dan penyelenggaraan selain pembinaan dewan yang lebih kemas serta tersusun.
"Oleh itu, kita harap penyelenggaraan akan dapat dilaksanakan dan KPM sudah bersedia ke arah itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sembilan lokasi PPKB yang dicadangkan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong (Kuala Terengganu, Terengganu), SK Gual Tinggi (Pasir Mas, Kelantan), SK Seri Medan (Batu Pahat, Johor),
SK Benta (Kuala Lipis, Pahang) dan SK Perwira (Teluk Intan, Perak).
Selain itu, SK Machang Bubok (Pulau Pinang), SK Beradek (Kuching, Sarawak) turut terserai dalam PPKB ini.
Sementara di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian Jabatan Pendidikan negeri berkenaan.
Fadhlina berkata, sekolah yang terjejas dengan banjir dan menjadi PPS akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.
Ujarnya, PdP itu turut melibatkan pelajar yang tidak dapat ke sekolah akibat kediaman mereka ditenggelami banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!