Ringgit dijangka catat prestasi lebih baik pada 2024

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai wang serantau termasuk ringgit dijangka mencatat prestasi yang lebih baik berbanding dolar AS pada tahun akan datang, disokong oleh berita dan petunjuk bahawa Kadar Dana Persekutuan AS kemungkinan menghampiri paras tertinggi.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, asas Malaysia juga dilihat positif dengan pengumuman kerajaan mengenai pelbagai projek pembangunan yang berkaitan dengan infrastruktur, peralihan tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

"Jika senario menunjukkan perkembangan global dengan kadar faedah tertinggi di pasaran maju pada tahun depan, atau pada masa ini, justeru, mata wang di rantau ini secara keseluruhannya, termasuk ringgit, dijangka mencatat prestasi yang lebih baik.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil mudah mengenai perkara itu.

"BNM akan terus memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam pasaran, dan terus bekerjasama dengan industri kewangan dan media untuk memahami keperluan naratif yang seimbang,” katanya kepada media pada Bengkel Media BNM 2023 di sini pada Isnin.

Beliau berkata, mensensasikan liputan yang berat sebelah hanya akan mewujudkan kebimbangan serta media mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai.

Selepas 11 kenaikan sejak Mac 2022, kadar Fed yang menjadi penanda aras kini berada antara 5.25 peratus dan 5.5 peratus.

Mengulas mengenai usaha kerajaan untuk mengurangkan turun naik ringgit, Adnan Zaylani berkata, ini adalah mandat BNM dan inisiatif telah diambil sepanjang tahun lepas.

Beliau turut menjangka lebih banyak aliran berita pada suku tahun akan datang mengenai pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Itu juga akan mewujudkan lebih banyak momentum untuk ringgit. Oleh itu, kami positif untuk ringgit pada tahun akan datang dan ramai penganalisis pasaran turut mengunjurkan ringgit yang lebih kukuh pada tahun akan datang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!