Wai Ching berjaya takluk Menara Canton di Guangzhou
JAGUH pelari menara negara, Soh Wai Ching menambah satu lagi koleksi kejuaraannya apabila berjaya menakluk Menara Canton setinggi 450 meter (m) pada kejohanan 10th Canton Tower Run Up di Guangzhou, China pada Ahad.
Pelari berusia 29 tahun itu menamatkan larian membabitkan 2,738 anak tangga untuk sampai ke puncak menara dalam masa 14 minit 23 saat (s) dan memecahkan rekod sebelumnya yang dilakar pelari Cina Zeng Wen Bo (14:36s).
Wen Bo terpaksa berpuas hati di tempat kedua (14:30s), manakala rakan senegaranya Li Zhi Sen muncul sebagai ketiga terbaik (15:00s).
"Bangga dapat mengibarkan bendera Malaysia di atas podium di Menara Canton dan pada masa sama memecahkan rekod dari 14:36s ke 14:23s," kata Wai Ching menerusi hantaran Facebook beliau.
Bagaimanapun, Wai Ching terlepas peluang untuk meraih kemenangan berganda di Guangzhou semalam apabila sekadar mendapat tempat kedua dengan catatan masa 16:36s di belakang juara Ye Zhao Bang dari China (16:23s) pada acara akhir International Vertical Marathon di Guangzhou CTF Finance Center Station.
Wen Bo melengkapkan podium dengan 17:14s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!