Chelsea bangkit tumbangkan Arsenal di Emirates
KELAB London barat Chelsea membuktikan mereka layak bergelar Raja London sebenar apabila menewaskan kelab London utara Arsenal 2-1 pada derbi London saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus mengubat kekecewaan skuad Frank Lampard yang tewas 2-0 kepada Southampton di Stamford Bridge pada Khamis lalu manakala skuad Mikel Arteta pula terus menambah catatan buruk apabila hanya mampu meraih satu kemenangan dari 15 perlawanan pada semua pertandingan.
Bagaimanapun The Gunners terlebih dulu mendahului The Blues menerusi jaringan minit ke-13 Pierre-Emerick Aubameyang yang bijak menyambar hantaran Mesut Ozil untuk mendahului babak pertama.
Pelawat yang lebih agresif dengan memberi tekanan kepada bahagian pertahanan tuan rumah akhir berjaya memanfaatkan kesilapan penjaga gol Arsenal, Bernd Leno untuk gol penyamaan daripada Jorginho pada minit ke-83
Gol itu kemudiannya membakar semangat para pemain Chelsea apabila sekali lagi mengasak bertali arus benteng Arsenal yang akhirnya bolos sekali lagi empat minit kemudian hasil jaringan Tammy Abraham.
Keputusan itu menyaksikan Chelsea mengekalkan penguasaan dalam kelompok empat terbaik dengan 35 mata manakala Arsenal berada pada kedudukan ke-12 dengan 24 mata.
Chelsea selepas ini akan bertandang ke di Stadium Amex menentang Brighton pada Rabu malam manakala Arsenal melayan kunjungan Manchester United di Stadium Emirates awal pagi Khamis ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!