JWC: Tekad dua penyerang robek gawang Chile
DUA penyerang muda, Shahmie Irfan Suhaimi dan Shamir Rizmi Shamsul bertekad membantu negara meraih keputusan positif pada aksi pembuka tirai menentang Chile Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Shahmie dilihat sebagai prospek besar untuk menggegar jaring lawan berdasarkan pengalamannya dalam pasukan.
Tambah menarik, dia adalah pemain tunggal daripada pasukan remaja yang mewakili skuad senior kebangsaan dalam kancah Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India Januari lalu.
Pemain berusia 21 tahun itu turut membuktikan nilainya apabila memberi sumbangan bermakna menjaringkan satu gol masing-masing ketika menentang Jepun dan Sepanyol dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-13 hingga 16.
“Dua gol ini memberi inspirasi kepada saya. Memang saya seronok selepas menjaringkan dua gol itu. Harap rentak sama dapat dipamerkan apabila menentang Chile nanti.
“Saya akan turun ke gelanggang bukan sahaja untuk menang tapi menjaga maruah pasukan negara beraksi pada kejohanan besar dunia di laman sendiri," kata Shamie yang juga anak kepada bekas penyerang negara, Suhaimi Ibrahim.
Tekad sama turut dilontarkan Shamir yang tidak sabar untuk turun beraksi bagi membantu Young Tigers yang dibimbing Muhammad Amin Rahim meraih kemenangan.
“Saya adalah penyerang dan tugas saya adalah untuk menjaringkan gol,” ujar pemain dari Seri Kembangan, Selangor itu.
Shamir mendapat inspirasi itu susulan kata-kata semangat pemain legenda negara, Datuk Poon Fook Loke selepas perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan baru-baru ini.
“Saya mendapat sokongan baik daripada rakan sepasukan lain dan akan cuba memberi sesuatu yang positif untuk skuad negara,” katanya.
Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan JWC kali ini dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.
Selepas bertemu Chile pada aksi pertama 5 Disember ini, pasukan negara akan berdepan ujian getir menentang Argentina sehari selepas ini dan kemudian menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia pada 8 Disember.
Pencapaian terbaik Malaysia di pentas JWC adalah tempat keempat sebanyak tiga kali iaitu edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!