Usah terperangkap dalam sindrom penafian

No Image Caption
A
A
A

SEBELUM ini kaji selidik Merdeka Center mendedahkan kadar sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menurun selepas setahun pentadbirannya.

Membandingkan kaji selidik penghujung bulan lalu dengan Disember tahun lalu iaitu sebulan selepas Anwar mentadbir Putrajaya, firma itu berkata separuh pengundi memberi maklum balas positif berbanding 68 peratus sebelum ini.

Hasil kajian itu bagaimanapun telah ditempelak oleh Menteri Kewangan, Rafizi Ramli bahawa kaji selidik Merdeka Center itu tidak bersandarkan dapatan yang penting terhadap rakyat mahupun kerajaan.

Malah, Perdana Menteri sendiri menyifatkan laporan kaji selidik oleh Merdeka Center itu tidak mewakili suara keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia, sebaliknya diperoleh hanya dibuat berdasarkan pandangan daripada 1,200 responden.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar menjelaskan, 32 juta itu banci bukannya kaji selidik atau survey.

“Survey ini kita hanya mengambil sampling, bukan tanya 32 juta, kalau jumlah itu kita kena banci," katanya seperti dilaporkan.

Mungkin kerajaan ketika ini merasakan bahawa mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi hakikatnya tidak di mata rakyat.

Kajian yang dijalankan oleh Institut Strategi dan Integriti Terengganu (TSIS) turut menunjukkan 62 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar, manakala 63 peratus responden tidak bersetuju dengan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Artikel Berkaitan:

Pemimpin kerajaan tidak boleh bersikap ‘in denial’ iaitu menafikan segala dapatan kajian. Komentar oleh tokoh dan badan berwibawa juga berpandangan sedemikian sempena setahun Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kemenangan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman adalah isyarat jelas bahawa rakyat semakin menolak PH dan BN.

Justeru, Anwar dan pimpinan kerajaan perlu mengambil iktibar daripada hasil kaji selidik dan kekalahan di Kemaman untuk memperbaiki lagi kelemahan. Apa yang penting, jangan terperangkap dalam sindrom penafian.

Ini kerana sindrom penafian hanya akan memakan diri kerana ia akan menjadi penghalang terbesar dalam usaha memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Madani pimpinan Anwar.

Kerajaan juga perlu terbuka menerima sebarang teguran, bukan mengharapkan pujian semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!