AirAsia mahu kekalkan 'DNA' penerbangan murah - Tony Fernandes
SYARIKAT penerbangan tambang murah AirAsia mahu mengekalkan identiti mereka sebagai sebuah syarikat yang menawarkan kos penerbangan murah di negara ini.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu juga perlu bertahan dan memerlukan sokongan kewangan supaya semua pesawatnya beroperasi dan seterusnya meningkatkan kekerapan penerbangan untuk penumpang.
"Kita masih ada kira-kira 40 pesawat yang tidak beroperasi, sebab itu kita memerlukan sokongan kewangan untuk membawa semula 200 pesawat daripada 'storage' dan ia bukan mudah.
"Kami juga bercakap mengenai 'aerobridge', kami mahukan kemudahan yang ringkas di lapangan terbang atau apa saja yang boleh membantu mengurangkan kos kerana mahu tawarkan tambang murah 100 peratus, itu DNA kami.
"Tetapi kami juga perlu bertahan dan kami tidak mengenakan caj yang lebih," katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung isu tiket antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur yang mahal.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran rekaan pesawat khas AirAsia sebagai penghormatan kepada mendiang Datuk Irene Benggon Charuruks di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin.
Tambah Tony, harga minyak turut mempengaruhi kos penerbangan yang mana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga bahan api tersebut.
"Saya tidak boleh kawal harga minyak, semua harga sedang meningkat. Dolar Amerika Syarikat (AS) sangat kukuh dan 70 peratus kos dalam dolar AS, bila matawang itu kukuh, kos kami meningkat," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai majlis itu, Tony berkata, AirAsia berjaya menerbangkan lebih 80 juta tetamu ke atau dari Sabah sejak 2002 hingga November lalu.
"Tidak kira setinggi mana kami terbang, kami tidak akan melupakan mereka yang telah membantu kami sepanjang perjalanan dan mendiang Datuk Irene sebagai bekas Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah adalah salah seorang yang memberi sepenuh kepercayaan kepada kami.
"Pada 2001, ketika saya mengambil alih sebuah syarikat penerbangan, Datuk Irene adalah salah seorang individu yang memandang perkara ini dengan serius.
"Dengan sokongan berterusan beliau, kami berjaya menubuhkan Sabah sebagai hab dan terus berkembang pesat," katanya.
Untuk rekod, AirAsia kini terbang ke 21 laluan termasuk domestik dan antarabangsa dengan 331 penerbangan mingguan dari Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!