[VIDEO] Tiga pondok bayaran parkir dipecah, dibakar

A
A
A

KUALA NERUS - Tiga pondok bayaran parkir kenderaan di sekitar Dataran Rimba Square, Gong Badak, di sini dirosakkan dengan dibakar dan dipecahkan dalam tiga kejadian berasingan bermula Oktober lalu dan bulan ini.

Terbaharu, pondok yang diselia syarikat swasta itu disedari rosak sekitar jam 5 pagi Selasa menjadikan jumlah kerugian ditanggung lebih RM10,000.

Wakil syarikat, Norshafina Ab Fatah, 34 berkata, insiden seperti itu berlaku kali ketiga selepas dua lagi pondok baharu dibina dirosakkan pada 8 Oktober dan 4 Disember lalu.

Norshafina melihat kerosakan yang berlaku di pondok bayaran parkir kenderaan yang beroperasi di Dataran Rimba Square, Kuala Nerus pada Isnin.
Norshafina melihat kerosakan yang berlaku di pondok bayaran parkir kenderaan yang beroperasi di Dataran Rimba Square, Kuala Nerus pada Isnin.

"Semalam saya dah buat laporan di Balai Polis Gong Badak mengenai sebuah pondok parkir yang dipecahkan dengan CCTV (kamera litar tertutup) di situ turut dimusnahkan.

"Hari ini saya akan buat satu lagi laporan polis berkenaan pondok yang dibakar. Saya tak sangka pula pondok itu juga akan dibakar kerana dua insiden yang terjadi sebelum ini berlaku di lokasi yang sama iaitu di Dataran Rimba Square.

Keadaan pondok bayaran parkir kenderaan yang dipecahkan dalam kejadian pada Isnin.
Keadaan pondok bayaran parkir kenderaan yang dipecahkan dalam kejadian pada Isnin.

"Kali ini pondok parkir yang kedudukannya jauh sedikit iaitu berdekatan dengan Rimba Hotel pula jadi sasaran," katanya ketika dihubungi, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Norshafina memberitahu, syarikat berkenaan telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk mengendalikan lima kawasan pondok parkir termasuk di Ladang dan Jalan Batas Baru di Kuala Terengganu.

Katanya, sejak mendapat tender pada 2013, ini kali pertama mereka berdepan situasi itu dan dia berharap agar apa yang berlaku dapat diselesaikan sebaik mungkin.

Sebuah pondok bayaran parkir berdekatan Dataran Rimba Square yang disedari dibakar pada Selasa. (Gambar kecil: Norshafina)
Sebuah pondok bayaran parkir berdekatan Dataran Rimba Square yang disedari dibakar pada Selasa. (Gambar kecil: Norshafina)

"Tak adil bagi kami dihukum begini.. Tak patut buat khianat macam ni sebab saya orang niaga, saya faham orang lain pun niaga. Saya niaga cara yang macam ni dan saya cari makan cara macam ni.

"Kita dah 'sign' kontrak dengan MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) selama dua tahun dan kita dah tak boleh undur dah. Bakarlah banyak mana pun kita akan bina baharu," ujarnya.

Dua pekerja melihat kerosakan di pondok bayaran parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di Kuala Nerus.
Dua pekerja melihat kerosakan di pondok bayaran parkir kenderaan di Dataran Rimba Square di Kuala Nerus.

Menurut Norshafina, pihaknya difahamkan MBKT juga bermesyuarat berhubung perkara itu dan akan mengambil langkah lanjut mengenainya.

"Dari segi caj parkir, kita ikut ketetapan MBKT dan tak langgar undang-undang. Begitu juga untuk pas parkir bulanan kepada peniaga di sini, dia (MBKT) kata RM150 kita ikut harga tu dan kita turunkan kepada RM120. Caj RM1 sejam pun kita ikut harga yang ditetapkan tu.

"Kita juga bagi percuma masuk untuk tempoh 10 minit pertama. Bagi yang nak hantar anak ke pusat asuhan di kawasan itu kita bagi masuk percuma selama 20 minit.

"Yang viral (tular) pasal caj parkir ni dia tak tanya kita dulu, kalau tanya kita boleh jelaskan apa yang berlaku," katanya.

Pondok bayaran parkir di Dataran Rimba Square pertama yang dibakar dalam kejadian pada 8 Oktober lalu.
Pondok bayaran parkir di Dataran Rimba Square pertama yang dibakar dalam kejadian pada 8 Oktober lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!