Wanita dalang 'pasport terbang' China ditahan
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Johor berjaya menumpaskan sindiket 'pasport terbang’ susulan penahanan seorang wanita tempatan menerusi Ops Serkap di Taman Nusa Bestari pada Isnin.
Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, suspek yang berusia 47 tahun ditahan pada jam 6 petang hasil risikan selama dua minggu oleh Unit Risikan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor.
"Hasil serbuan oleh sepasukan pegawai unit risikan disebuah petak parkir turut menahan seorang lelaki warga China berusia 34 tahun dipercayai bertindak sebagai orang tengah.
"Turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X berwarna putih. Lima keping pasport China dan wang tunai RM12,100 turut dirampas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Baharuddin, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan mengenakan caj sebanyak RM400 hingga RM500 bagi setiap pasport.
"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 (Akta 150).
Katanya, Jabatan Imigresen memandang serius sindiket 'pasport terbang' kerana menggugat kedaulatan dan keselamatan negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mengupah atau melindungi pendatang tanpa izin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!