Mayat disimen dalam kolah: Lelaki warga asing direman tujuh hari
KLANG - Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen di dalam kolah bilik air sebuah rumah di sini pada Ahad.
Perintah reman tujuh hari bermula Selasa sehingga Isnin depan itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.
Terdahulu, suspek berusia 53 tahun itu diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret di sini, pada jam 9.47 pagi, Selasa.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan suasana di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran di sini, gempar dengan penemuan mayat wanita dipercayai warga asing, kira-kira jam 9.30 malam.
Siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.
Mayat wanita itu ditemukan selepas anggota bomba bertindak memecahkan simen kolah berkenaan.
Polis setakat ini menahan seorang lelaki dan sedang mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan dilaporkan berkata, dua individu itu masing-masing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang dikenal pasti menyewa rumah tersebut dan dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.
@sinarharianonline Lelaki warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen. #SinarHarian#SinarTerkini#fyp#beritaditiktok#reman#simen Suspense, horror, piano and music box - takaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!