Proton jual 141,900 unit kereta dalam 11 bulan

Model Proton Saga, Iriz, Persona, Exora mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 34.3 peratus berbanding jumlah jualan tahunan 2022. Gambar kanan: Roslan
Model Proton Saga, Iriz, Persona, Exora mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 34.3 peratus berbanding jumlah jualan tahunan 2022. Gambar kanan: Roslan
A
A
A

PROTON Holdings Bhd (Proton) berjaya melepasi jumlah jualan tahunan dengan menjual sebanyak 141,900 unit berbanding 141,432 unit pada tahun lalu.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pertumbuhan sebanyak 12 peratus berbanding tahun ke tahun membawa kepada pegangan pasaran yang stabil iaitu 19.7 peratus.

“Jumlah jualan tahunan syarikat sehingga bulan November ialah sebanyak 141,900 unit.

Sebanyak 138,876 unit daripadanya merupakan jualan domestik dan selebihnya (3,024 unit) eksport.

“Pada bulan November sahaja, Proton berjaya mencatatkan jumlah pendaftaran sebanyak 12,296 unit termasuk domestik dan eksport,” menurut satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Proton memaklumkan Proton S70 memberi impak yang luar biasa dengan peningkatan tiga kali ganda dalam tempahan berikutan pelancarannya dan pengumuman harga.

Kata kenyataan itu, lonjakan dalam tempahan melepasi 900 unit dalam tempoh seminggu dan ia menunjukkan populariti model serta keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia.

Menurut Proton lagi, jumlah tempahan untuk S70 telah pun melebihi 3,000 unit, menandakan kecenderungan sejajar dengan keperluan dan pilihan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, pengeluar kereta itu turut memberitahu bahawa Proton X Series yang terdiri daripada model X50, X70, dan X90 berjaya dijual sebanyak 201,710 unit.

Katanya, Proton X50, pendahulu dalam kategori SUV segmen B dan kekal sebagai kegemaran pelanggan malah penyumbang ketara kepada kejayaan pada bulan November dengan 2,115 unit terjual.

“Sejak dilancarkan (Proton X50), sebanyak 102,325 unit telah terjual. Proton X70, pesaing teguh dalam segmen SUV C, merekodkan 95,100 unit terjual sejak dilancarkan, mengekalkan kedudukan pasarannya yang kukuh.

“Proton X90 yang diperkenalkan kurang dari setahun lalu terus menerajui segmen SUV D, meraih 4,285 unit dalam jualan dan menyumbang kepada kejayaan keseluruhan X Series,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Proton memberitahu model Proton Saga, Iriz, Persona, Exora mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 34.3 peratus berbanding jumlah jualan tahunan 2022.

Menurut kenyataan itu lagi, Proton Saga kekal tertinggi mendahului dengan 6,349 unit terjual dan kedua tertinggi untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, syarikat bersedia untuk penutupan akhir tahun yang kukuh.

“Barisan model kami merupakan pemain utama yang sempurna dan sejajar dengan keutamaan untuk gaya, prestasi, teknologi dan kepraktisan.

“Penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan kami telah mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memastikan proses pemilikan yang lancar,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!