Standard pembuatan halal Yeo’s yang tinggi tingkatkan keyakinan pengguna
Selain memenuhi kehendak pasaran Malaysia, hari ini Yeo’s juga tampil sebagai pusat pembuatan dan pengedaran global yang penting ke Indonesia, New Zealand, Australia, Eropah, Indochina dan Amerika Syarikat, menjadikan ia syarikat F&B terkemuka yang mempunyai Sijil Halal Malaysia untuk pasaran antarabangsa.
Persijilan halal Malaysia membabitkan tadbir urus yang terperinci. Semua jenama mesti mematuhi peraturan ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa persijilan halal Malaysia, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurut Pengurus Kanan Pematuhan Halal Yeo’s, Razana Mat Saad, syarikat itu memiliki sistem yang komprehensif dan efektif yang mematuhi keperluan JAKIM sepenuhnya.
“Kami melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan Sistem Jaminan Halal (HAS) kami mematuhi sepenuhnya semua keperluan dalam Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) 2020.
“Peraturan halal yang ketat ini dipatuhi di seluruh premis dan produk kami. Keseluruhan rantaian pengeluaran, daripada sumber bahan kepada pembuatan dan pembungkusan, semuanya mematuhi undang-undang dan peraturan untuk persijilan halal.
“Ini bermakna bahan mentah, bahan tambahan, bahan bantuan pemprosesan, perkakas dan peralatan kami, malah sistem pengeluaran, pemprosesan produk dan keseluruhan premis kilang kami, semuanya menepati standard ketat yang ditetapkan oleh JAKIM,” tegas beliau.
“Kami bekerjasama rapat dengan JAKIM bagi memastikan kami dapat mengekalkan integriti operasi halal kami dan selama ini mereka memberikan sokongan yang sangat baik.
“Kami juga terbuka untuk memanjangkan kolaborasi bersama JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk menganjurkan program-program kesedaran halal untuk memperkasa dan memperkukuh pengetahuan pengguna berkaitan halal,” jelas Razana.
Pengiktirafan yang diterima oleh Yeo’s selama ini adalah hasil kesungguhan syarikat berkenaan dalam mematuhi dasar halalnya.
Pada 2009, Yeo’s menerima anugerah ‘Jenama Halal Terbaik’ untuk pengamalan proses halal yang cemerlang, inovatif, konsisten dan kejayaan keseluruhannya. Pada 2018, ia diberikan pengiktirafan yang cukup membanggakan menerusi ‘Anugerah Jenama Halal Terbaik Dunia BrandLaureate’ (‘BrandLaureate World Halal Best Brands Award’) bagi kategori Makanan & Minuman FMCG.
Membina kepercayaan pelanggan
Sementara itu Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Mohamad Zamri Mohamed Shapik berkata, agensi itu merupakan pihak berkuasa berwibawa persijilan halal Malaysia dan mereka bertanggungjawab untuk memberikan pengiktirafan halal kepada produk serta perkhidmatan yang dihasilkan oleh industri yang memenuhi keperluan atau syarat yang digariskan dalam keperluan pensijilan halal dan Standard Malaysia yang berkuatkuasa.
“Semua industri termasuk pembuatan makanan yang memohon persijilan halal daripada JAKIM perlu mematuhi peraturan dan keperluan hukum syarak. Persijilan halal ini penting untuk membina kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan keselamatan produk yang mereka makan.
“Pengguna juga boleh menyemak dan mengesahkan status halal satu-satu produk melalui platform atas talian yang disediakan oleh JAKIM seperti Portal Rasmi Halal Malaysia atau Aplikasi Mobil seperti Verify Halal dan Smart Halal,” katanya.
“Ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadi peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion di samping memanfaatkan pasaran halal dunia yang dianggarkan melebihi US$1 trilion (RM4.68 trilion) tahun hadapan.
“Keadaan ini dijangka akan meningkatkan lagi kedudukan persijilan halal Malaysia yang diterima di peringkat antarabangsa dan menggalakkan promosi perdagangan, seterusnya menjadikan negara kita sebagai peneraju pasaran halal global,” katanya.
Selamat untuk dimakan
Bagi melengkapkan persijilan halal, produk Yeo’s juga dikilangkan mengikut standard kualiti dan keselamatan makanan antarabangsa yang ketat serta selamat untuk dimakan.
Malah Yeo’s juga memperoleh sijil Hazard Analysis and Critical Control Points (Analisis Mudarat dan Titik Kawalan Kritikal, HACCP) yang diiktiraf dalam industri makanan seluruh dunia bagi pengamalan keselamatan makanan.
Ketiga-tiga kilangnya, yang terletak di Shah Alam, Johor Bahru dan Ipoh, juga diperakui dengan Proses Pengilangan Baik (GMP) yang mengawal semua kemungkinan kemudaratan dalam proses pembuatan makanan, merangkumi proses penapisan dan pensterilan yang ketat serta sistem pengisian tertutup.
Baru-baru ini, syarikat ini turut berjaya memperoleh persijilan FSSC 22000 untuk kilang di Ipoh, menunjukkan komitmennya yang konsisten menghasilkan produk selamat dan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memenuhi bahkan melangkaui standard industri.
Buat masa ini Yeo’s sedang melaksanakan standard Inisiatif Keselamatan Makanan Global (GFSI) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Jenama turun temurun
Sejarah jenama Yeo’s bermula pada 1901 sebagai perusahaan sos soya yang kecil di China. Sebagai seorang yang berwawasan, pemiliknya Yeo Keng Lian, mengorak langkah berani membawa perniagaannya ke Singapura pada 1935, dan kemudiannya dikembangkan ke Malaysia pada 1940-an.
Hari ini, nama Yeo’s cukup sinonim dengan industri F&B, mengeluarkan pelbagai produk seperti makanan dalam tin, beraneka jenis minuman, sos masakan dan sos soya untuk memenuhi keperluan pasaran.
Mesipun diiktiraf kerana kualiti dan inovasinya, namun Yeo’s tetap tekun memantapkan lagi kejayaannya. Syarikat ini meneruskan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk memperluaskan kehadiran industrinya selain berusaha menguasai pasaran yang lebih besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!