Kerajaan Perpaduan fokus tingkat pendapatan rakyat tahun kedua pentadbiran

Fahmi ketika ditemu bual pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV mengenai Setahun Bersama Kerajaan Madani di Wisma Bernama pada Selasa. - Foto Bernama
Fahmi ketika ditemu bual pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV mengenai Setahun Bersama Kerajaan Madani di Wisma Bernama pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan beriltizam meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbirannya tahun depan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Bercakap dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pagi ini, Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata, ia meliputi segenap sektor didorong landskap ekonomi yang semakin pulih dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tahun pertama, secara amnya Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik, ini asas yang sangat penting. Tidak ada perubahan kerajaan.

"Dengan adanya asas yang stabil ini, kita dapat umumkan beberapa dasar seperti Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), peralihan kepada tenaga hijau dan terbaharu Kertas Putih mengenai Dasar Gaji Progresif, meningkatkan gaji (penjawat awam) insya-ALLAH tahun depan..,” katanya.

Beliau berkata, dengan terus mengekalkan Kerajaan Perpaduan, ia membantu meningkatkan kestabilan politik, keyakinan pelabur selain mengukuhkan ringgit.

Mengulas pencapaian Kerajaan Perpaduan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi berkata, antara lain, terbaharu lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memeterai perjanjian langganan saham (SSA) untuk memegang ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) pada 1 Disember lepas.

KKD juga, katanya, telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat dapat menikmati Internet pada kadar lebih murah menerusi pelbagai pakej seperti Pakej 5G Rahmah, selain membolehkan penggunaan Starlink untuk membantu capaian Internet di kawasan terpencil dan pedalaman.

"Ini terbukti dalam laporan bulanan Jabatan Perangkaan menunjukkan sektor komunikasi menunjukkan inflasi -3.7 peratus setiap bulan untuk empat, lima bulan kebelakangan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, di bawah dasar baharu 'di mana ada jalan, di situ ada Internet' kerjasama antara semua syarikat telco akan memastikan akses Internet lebih meluas dan Melaka telah dipilih sebagai bukti konsep (POC) sebelum ia diteruskan ke seluruh negara.

"Selain itu, masih di peringkat awal... teknologi menggunakan satelit sebagai menara. Ada beberapa syarikat menyatakan hasrat bekerjasama dengan syarikat telco dan kalau kita mampu laksanakan perkara ini, maka sebenarnya membolehkan kita ada capaian Internet benar-benar di mana sahaja kita berada," katanya.

Fahmi berkata, bagi aspek keselamatan siber dan data peribadi, KKD akan terus meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat selain memperkenalkan undang-undang serta meminda akta sedia ada sesuai dengan peredaran zaman.

Beliau berkata, susulan penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber, satu badan kawal selia diwujudkan bertujuan memastikan semua syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memenuhi tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan infrastruktur siber terpelihara.

Fahmi berkata, pelaksanaan MyDigital ID juga dapat menjamin keselamatan data peribadi pengguna selain memudahkan urusan dengan menggunakan hanya satu identiti dan kata laluan di semua platform dibangunkan kerajaan.

"Malaysia sekarang antara negara yang penggunaan datanya meningkat, kelajuan Internet antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara malah di Asia Pasifik, tapi kita juga dibelenggu masalah scam. Jadi kita perlu sentiasa berwaspada," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!