MB tiada maklumat ADUN pembangkang sokong kerajaan
IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung dakwaan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menyokong kerajaan.
Menurutnya, perkara itu hanya dibangkitkan oleh ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad ketika sesi perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2024 pada Isnin.
"ADUN Hulu kita pun tak bagi tahu saya. Dia sebut dalam Dewan sahaja semalam. Kena tanya dialah. Tak ada siapa-siapa merujuk kepada saya dan tak ada siapa-siapa maklumkan kepada saya.
"Jadi apabila yang YB Hulu Kinta mengumumkannya dalam Dewan, dia bertanggungjawab lah di atas kenyataan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Selasa.
Pada Isnin, Muhamad Arafat mendedahkan sekurang-kurangnya tiga ADUN pembangkang didakwa akan memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Perak selepas menemui merek baru-baru ini.
ADUN Hulu Kinta itu menjelaskan alasan diberikan oleh ADUN pembangkang itu disebabkan mereka yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat dan Saarani di peringkat negeri.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran ADUN-ADUN berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Razman Zakaria menafikan perkara tersebut dan menganggap kenyataan Muhamad Arafat itu sebagai provokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!