Kemenangan Ahmad Samsuri redakan suhu politik - Anwar

Anwar berucap merasmikan HPTN 2023 pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar berucap merasmikan HPTN 2023 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan meredakan suhu politik negara memandangkan imejnya yang sederhana berbanding sikap pimpinan Pas yang jauh lebih ekstrem.

Semasa ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN 2023) di sini pada Selasa, Anwar mengucapkan tahniah kepada Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, atas kemenangan itu dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai ahli Parlimen.

"Dari segi negara, dia akan memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan kerana imej (Ahmad Samsuri) yang sederhana... Mudah-mudahan dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas,” kata beliau.

Pas mengekalkan kerusi Parlimen Kemaman melalui kemenangan Ahmad Samsuri pada PRK itu Sabtu lepas dengan majoriti 37,220 setelah memperoleh 64,998 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan penyandang Che Alias Hamid juga daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, mesyuarat antara pimpinan PH dan UMNO telah diadakan semalam berhubung keputusan PRK Kemaman dan beliau berpuas hati kerana nampak usaha mengerahkan jentera ke akar umbi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!