Imam Mahdi: Jakim gagal kesan, minta bantuan polis

Mohd Na'im (tengah) melancarkan Plan Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) pada Selasa.
Mohd Na'im (tengah) melancarkan Plan Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih belum dapat mengesan individu yang menggelarkan dirinya sebagai Imam Mahdi sebagaimana tular di media sosial sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sehubungan itu memaklumkan, Jakim akan meminta bantuan polis untuk mengesan individu terbabit.

Menurutnya, ia merupakan langkah susulan selepas usaha Jakim untuk memanggil individu yang mengaku Imam Mahdi bagi mengadakan perbincangan masih belum berhasil sehingga kini.

"Setakat ini belum jumpa lagi dan kita bekerjasama dengan pihak polis untuk mencari individu terbabit.

"Saya sendiri harapkan (sekiranya dapat ditemui) untuk berbincang sebab itu saya sudah arahkan pihak Jakim agar menghubungi pihak terbabit untuk berbincang.

"Langkah kedua kini terpaksa diambil iaitu memohon bantuan pihak polis untuk menghubungi pihak tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Beliau ditemui selepas melancarkan Plan Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini.

Pada 1 Disember lalu, Jakim diarahkan untuk memanggil individu terbabit bagi tujuan untuk memberi nasihat atas kenyataan yang dibuat menerusi satu hantaran di laman sosial.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial berhubung kenyataan seorang lelaki yang dikenali sebagai Khairul Adha menyatakan dirinya sebagai Imam Mahdi yang dilantik oleh ALLAH SWT.

“Assalamualaikum, sebenarnya, aku lah Imam Mahdi yang dilantik oleh ALLAH SWT, aku boleh bukti kalau ‘u all’ nak tahu apa tugas aku dekat dunia ALLAH SWT ni, maaf lambat bagitahu siapa aku,” katanya dalam hantaran itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!