Kit Siang patut beri tumpuan masalah dalaman PH-BN - Takiyuddin

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang seharusnya memberi tumpuan kepada masalah dalaman Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) termasuk isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan tersebut lebih bermanfaat kepada beliau, bukannya bermain politik picisan, hipokrit, hyperbola dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan negara lebih baik, jujur serta demokratik.

“Pas percaya, jika Kit Siang berasa berhak menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khususnya UMNO.

“Parti itu jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Takiyuddin dalam masa sama menegaskan bahawa Kit Siang bukanlah individu yang layak untuk bercakap mengenai kesederhanaan dan sikap terbuka.

“Baik kerana sejarah lampaunya sebagai seorang ahli politik, mahupun kedudukan semasanya sebagai penasihat sebuah parti yang masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme.

“Beliau boleh menasihati UMNO yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menambah, pencapaian Pas di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya, jadi kedudukannya tidak pernah dicabar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, persoalan yang cuba dibangkitkan oleh Kit Siang terutamanya mengenai kedudukan presiden yang mungkin akan digantikan dengan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar adalah tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali.

“Kedudukan presiden pernah dicabar sekali, namun masih mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan Pas.

“Pas juga mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung dan menguasai pentadbiran empat negeri,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Pas mengucapkan terima kasih atas ucapan tahniah bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri susulan kejayaan besar calon Pas - Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri yang mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) ketika pilihan raya kecil (PRK) Kemaman pada Sabtu.

Jelas Takiyuddin, sikap budiman sedemikian amat dialu-alukan dan boleh menyumbang kepada pemupukan budaya politik lebih matang dan sejahtera yang positif untuk negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!