YaPEIM lancar pelan Transformasi Najjah 2023-2027
KUALA LUMPUR - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melancarkan pelan Transformasi Najjah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini pada Selasa.
Transformasi Najjah bertujuan meletakkan YaPEIM sebagai sebuah institusi amal jariah pilihan, sebagai rakan strategik ekonomi negara dan mencapai lonjakan reputasi dan pengiktirafan melalui peranan dalam ekosistem pembangunan ekonomi Islam.
Mohd Na'im turut berkata, ia juga bertujuan membina YaPEIM sebagai sebuah Badan Pembangunan Sosial yang merangkumi aspek-aspek pembangunan ekonomi Islam.
Selain itu, ujarnya, ia turut merangkumi pendidikan, pembangunan sosial serta menjadikannya sebagai sebuah pusat kecemerlangan relevan dan sebagai rujukan di peringkat nasional mahu pun global dalam pembangunan ekonomi Islam.
Bagaimanapun Mohd Na'im berkata, dalam melaksanakan apa-apa transformasi, elemen pembangunan warga kerja tidak boleh dilupakan malah, ia berupa antara asas utama kepada kejayaan transfomasi sesebuah organisasi.
"Dalam Transformasi Najjah (YaPEIM), sumber manusia dan budaya organisasi berupa teras keempat daripada enam teras pelaksanaan.
"Oleh demikian, Iima nilai Al-Falah disenaraikan dalam Pelan Transformasi Al-Falah amat relevan dalam pembangunan insan dan budaya organisasi ini dan dalam konteks Transformasi Najjah YaPEIM, ia dapat membina YaPEIM mempunyai warga kerja yang berilmu, ikhlas, istigamah dalam apa saja yang dilakukan, itqan atau melaksanakan sesuatu dengan kompeten dan bersungguh-sungguh dan berintegriti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Plan Transformasi Najjah YaPEIM di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini pada Selasa.
Beliau menambah, bagi mencapai matlamat pelan transformasi itu terdapat keperluan mendesak untuk semua warga kerja YaPEIM meningkatkan lagi prestasi dan produktiviti masing-masing bertunjangkan kepada nilai integriti tinggi pada setiap masa.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YaPEIM, Datuk Dr Mohd Radzif Mohd Yunus pula berkata, pelaksanaan Transformasi Najjah dipantau satu jawatankuasa dibentuk Lembaga Pemegang Amanah iaitu Jawatankuasa Pemantau Projek Najjah atau JPPN.
Menurutnya, tujuh anggota JPPN ialah tiga ahli dalam kalangan wakil LPA, tiga ahli bukan dalam kalangan LPA dan ketua pegawai eksekutif merangkap ketua pengarah.
"Projek Transformasi Najjah ini merupakan pelan transformasi menyeluruh bagi mencipta nilai untuk berkhidmat agar memenuhi objektif teras penubuhan YaPEIM dalam pembangunan ekonomi lslam, pendidikan dan kebajikan sosial.
"Najjah berupa perkataan pinjaman daripada bahasa Arab membawa maksud kejayaan mempunyai tiga nilai iaitu dengan penuh kejayaan, kejayaan berterusan dan kemakmuran," katanya.
Ujarnya lagi, kerangka projek Najjah yang dibangunkan dengan mempunyai enam teras pelaksanaan, lapan strategi dan 46 inisiatif yang diharap mampu mencapai hala tuju strategik YaPElM untuk tempoh lima tahun bermula dari 2023 hingga 2027.
"Satu 'dashboard' juga telah dibangunkan bagi memantau, mengukur dan menganalisa pencapaian secara keseluruhan projek Najjah ini supaya terus berada di landasan yang betul," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!