'Dedahkan nama ADUN pembangkang sokong kerajaan' - PN Perak

Zainol Fadzi
Zainol Fadzi
A
A
A

IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad supaya mendedahkan nama ADUN pembangkang yang didakwa menyokong kerajaan negeri.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pihaknya menafikan dakwaan berkenaan bahawa terdapat beberapa ADUN daripada PN akan berpaling tadah.

Beliau menjelaskan, PN Perak sudah menjalankan siasatan dan bertanyakan kepada semua ADUN PN seperti didakwa tetapi perkara itu tidak berlaku.

"Sepatutnya ADUN Hulu Kinta tidak mengamalkan politik murahan malah tindakan seumpama itu sudah ketinggalan zaman dan tidak wajar seorang pemimpin parti politik boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

"PN Perak mencabar ADUN Hulu Kinta untuk mendedahkan nama ADUN PN yang seperti didakwanya atau beliau sekadar bermimpi di siang hari," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zainol Fadzi berkata, dakwaan yang dibuat Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu hanya satu provokasi yang sengaja dilemparkan kepada PN untuk mencari sensasi politik.

Jelasnya, PN Perak menyifatkan tindakan Muhamad Arafat itu sebagai terdesak dan cuba mengalihkan perhatian rakyat terhadap perbahasan belanjawan malah tindakan politik murahan seperti itu sering berlaku di setiap kali Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung.

Malah menurutnya, semua ADUN PN yang berbahas dalam Sidang DUN Perak memberikan sokongan kepada Belanjawan Negeri Perak 2024 yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan bukan hanya tiga orang seperti didakwa menyokong kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Muhamad Arafat mendedahkan sekurang-kurangnya tiga ADUN pembangkang didakwa akan memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Perak selepas menemui mereka baru-baru ini.

Beliau menjelaskan alasan diberikan oleh ADUN pembangkang itu disebabkan mereka yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat dan Saarani di peringkat negeri.

Bagaimanapun identiti ADUN-ADUN yang dimaksudkan itu tidak didedahkan kepada media sebaliknya memaklumkan pertemuan telah diadakan pada bulan November dan Disember tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Razman Zakaria menafikan perkara tersebut dan menganggap kenyataan Muhamad Arafat itu sebagai provokasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!