MAIS gesa salur sumbangan wakaf tunai korporat pada PWS
SHAH ALAM - Syarikat korporat dan swasta khususnya anak syarikat kerajaan negeri digesa menyalurkan sumbangan wakaf tunai korporat kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ini kerana sumbangan wakaf tunai korporat itu akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi Selangor.
"Sekiranya lebih banyak anak syarikat kerajaan negeri turut serta membuat bayaran wakaf tunai korporat, jumlah kutipan wakaf akan bertambah dari masa ke semasa," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut berharap semua anak syarikat kerajaan negeri mencontohi Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) yang menyempurnakan wakaf tunai korporat kepada PWS.
Tambahnya, PWS iaitu anak syarikat MAIS akan terus komited dalam membudayakan amalan berwakaf dan menyeru kepada anak syarikat kerajaan negeri yang lain atau syarikat swasta untuk mengambil peluang berwakaf.
Pada Isnin, PWS menerima sumbangan wakaf tunai korporat berjumlah RM200,000 dari KPS Berhad yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri pertama melaksanakan wakaf tunai korporat tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!