Dua hari panas terik, banjir belum surut

Keadaan rumah penduduk yang ditenggelami banjir sejak dua minggu lalu. Gambar kecil: MOHAMAD AMIR, MUHD ASWADI, WAN MOHD AMIRUL IMAN
Keadaan rumah penduduk yang ditenggelami banjir sejak dua minggu lalu. Gambar kecil: MOHAMAD AMIR, MUHD ASWADI, WAN MOHD AMIRUL IMAN
A
A
A

RANTAU PANJANG - Walaupun cuaca panas terik sejak dua hari kebelakangan ini, namun lebih 1,000 penduduk di kawasan Padang Licin dan Tersang di sini dibelenggu masalah banjir termenung kerana keadaan air yang lambat surut dan berbau busuk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati paras air masih setinggi 0.7 meter di kebanyakkan kawasan menyebabkan 320 mangsa kekal berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Mukim Padang Licin manakala 802 lagi mangsa di Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh.

Seorang petani, Wan Mohd Amirul Iman Wan Mohd Zain, 28, berkata, banjir melanda di kedua-dua kawasan itu dua minggu lalu susulan hujan lebat sehari semalam, namun keadaan cuaca bertukar panas terik pada Isnin dan Selasa.

Walaupun dapat pulang ke rumah, namun penduduk tidak dapat melakukan rutin harian apabila air masih belum surut sepenuhnya.
Walaupun dapat pulang ke rumah, namun penduduk tidak dapat melakukan rutin harian apabila air masih belum surut sepenuhnya.

“Pada Ahad lalu, paras air naik sedikit dan keesokannya tidak hujan tetapi air masih berada di paras sama, manakala rumah-rumah penduduk ditenggelami banjir bersama sampah-sarap selain berbau busuk.

“Hari ini pula air hanya surut sekitar 0.2 meter berbanding semalam menyebabkan penduduk tidak dapat pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Licin pada Selasa.

Seorang lagi penduduk, Muhd Aswadi Yaacob, 25, yang bekerja di sebuah kilang di Johor terpaksa mengambil cuti kerana menjaga ibu bapanya ketika musim banjir.

Artikel Berkaitan:

Penduduk terpaksa meletakkan barangan di atas loteng bagi mengelak ditenggelami banjir termenung.
Penduduk terpaksa meletakkan barangan di atas loteng bagi mengelak ditenggelami banjir termenung.

Menurutnya, bapanya yang menghidap penyakit strok sejak 15 tahun lalu kerap meminta dibawa pulang ke rumah untuk menggunakan tandas kerana kemudahan itu sukar di PPS akibat perlu berkongsi dengan lebih ramai orang.

“Dalam keadaan banjir termenung ini, saya terpaksa membawa pulang ayah ke rumah yang terletak hampir satu kilometer daripada PPS dengan menggunakan perahu.

“Sebelum malam, saya kena bawa dia semula ke PPS untuk tidur kerana bimbang keselamatan jika terus berada di rumah yang masih banjir,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang mekanik, Mohamad Amir Muhamat, 27, berkata, keadaan banjir termenung berlaku di kampung-kampung berkenaan sejak dua tahun lalu didakwa akibat pembinaan benteng banjir yang masih dalam pembinaan.

Penduduk masih tidak dapat melakukan rutin harian sebagaimana kebiasaan apabila dibelenggu dengan masalah banjir termenung.
Penduduk masih tidak dapat melakukan rutin harian sebagaimana kebiasaan apabila dibelenggu dengan masalah banjir termenung.

“Banjir termenung ini menyebabkan saya tiada pendapatan ketika ini kerana bengkel kereta ditenggelami banjir.

“Sebelum ini, banjir hanya ambil masa sehari sudah surut tetapi sejak dua tahun ini, lebih sebulan barulah air benar-benar surut dan penduduk dapat kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!