Tiada bilik banduan VIP di Penjara Sungai Buloh
SHAH ALAM - Jabatan Penjara Malaysia (JPM) menegaskan kenyataan yang dibuat oleh ‘Abang Mat’ menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi YouTube tidak benar dan berniat jahat.
JPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis kerana dakwaan itu bukan sahaja mencemarkan imej institusi berkenaan malah menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tiada bilik untuk penempatan banduan VIP (individu berkepentingan) di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain. DSAI (Anwar) telah ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh atas pengesyoran pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
“Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan lanjut. Hampir keseluruhan banduan ditempatkan di klinik penjara adalah banduan warganegara Malaysia dan bukan hanya banduan warga asing,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Sebelum ini, satu rakaman wawancara berdurasi 80 minit telah dimuat naik di aplikasi YouTube berkenaan kisah seorang bekas banduan di Penjara Sungai Buloh yang dikenali sebagai Abang Mat.
Dia mendakwa di penjara ada sebuah blok khusus untuk individu kenamaan dan kebanyakannya didiami oleh banduan warga asing.
Mengulas lanjut, JPM memaklumkan, semua banduan yang berada di klinik penjara disediakan katil sepertimana pengesyoran pegawai perubatan dan untuk kepentingan kesihatan mereka.
Tambah kenyataan itu, kerja-kerja membersihkan kawasan klinik termasuk bilik dilaksanakan oleh banduan yang dipilih dari tempat sama dan bukan dari blok penginapan lain malah pemantauan secara rapi dan dekat dilakukan oleh pegawai penjara.
Dalam pada itu, JPM turut menegaskan tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar.
“Sepertimana bilik-bilik banduan lain, tirai tidak dipasang bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.
“Bukan itu sahaja, terdapat juga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan tersebut sebagai bantuan kawalan,” kata kenyataan itu.
@sinarharianonline Pendedahan Abang Mat berniat jahat, cemar imej Jabatan Penjara. @rasuahbusters #fyp#SinarHarian#SinarTerkini#BuletinTikTok#Penjara#VVIP original sound - Sinar Harian
Berhubung dakwaan mengatakan waktu senaman pada sebelah pagi, JPM memaklumkan hal berkenaan tidak tepat malah berdasarkan rekod jadual ditetapkan oleh Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman tersebut dilaksanakan pada waktu petang.
Sementara itu, JPM menjelaskan sesi lawatan, perjumpaan untuk Anwar adalah sama seperti layanan yang diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat.
“Perjumpaan pula dilaksanakan di tempat lawatan dan bukannya di klinik penjara. Berasaskan Peraturan 91, Peraturan- Peraturan Penjara 2000 DSAI boleh dibenarkan perjumpaan khas bagi urusan mustahak dan perlu disegerakan.
“Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan antaranya kematian, perniagaan, pelajaran dan lain-lain urusan keluarga perlu memohon terlebih dahulu,” kata JPM.
Pada masa sama, JPM mendakwa Abang Mat hanya mereka cerita mengenai perihal dapat melihat Ahli Parlimen Tambun itu dalam jarak 50 meter.
Menurut kenyataan itu, bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuklah bilik Anwar tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain.
Jelas JPM, bilik Anwar menghadap dinding laluan pegawai penjara dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!