Dua individu disyaki keldai akaun 'phone scam' ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang lelaki dan wanita ditahan semalam kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket penipuan hingga menyebabkan mangsa kerugian RM77,000, dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, di Kedah dipercayai menjadi keldai akaun sindiket penipuan telefon (phone scam) melibatkan kerugian RM57,000.

"Berdasarkan laporan polis, mangsa iaitu seorang pekerja kilang berusia berusia 34 tahun menerima panggilan telefon kononnya daripada syarikat kurier dan pegawai polis mendakwa lelaki itu terlibat dengan jenayah kerana terdapat bungkusan atas namanya mengandungi tiga kad pengenalan, tiga pasport serta dua kad bank milik individu lain,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, lelaki itu yang bimbang ditahan kemudian membuat membuat sembilan transaksi secara dalam talian berjumlah RM57,000 ke empat penama akaun yang berbeza termasuk wanita yang ditangkap di Kedah itu.

"Suspek kedua iaitu lelaki berusia 29 tahun, ditahan di pekarangan Balai Polis Bukit Mertajam, di sini kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam satu lagi kes penipuan telefon,” katanya.

Dalam kes kedua itu, katanya, mangsa seorang pekerja kilang wanita berusia 48 tahun telah membuat transaksi sebanyak RM20,720 ke akaun bank selepas diperdaya sindiket penipuan kononnya terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan kongsi gelap.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Kamarul Rizal berkata, polis menahan 23 lelaki termasuk sebelas warga emas yang sedang leka bermain judi dalam khemah di kawasan tanah lapang di Jalan Sungai Ara, di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 33 dan 90 tahun itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Turut dirampas wang tunai RM26,112 dipercayai hasil kegiatan judi, selain barangan untuk bermain judi antaranya 143 keping cip, tiga biji dadu, tembikar, meja, kerusi dan alat pengera," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!