Maqis rampas ubat 'sensei' tanpa permit
KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas produk perubatan Cina kerana tidak mematuhi syarat import ditetapkan.
Maqis dalam satu kenyataan media berkata, produk itu dirampas di Pintu Masuk Pelabuhan Klang Utara ketika operasi dijalankan oleh pegawai penguat kuasa Maqis.
"Pemeriksaan dilakukan mendapati produk perubatan Cina itu tidak mematuhi syarat import iaitu nombor import permit tidak dinyatakan di dalam sijil fitosanitasi.
"Produk seberat 6,887kg yang dianggarkan bernilai RM213,145 yang dirampas itu diimport menggunakan kapal dagangan dari China," kata kenyataan itu.
Kegagalan pihak pengimport mematuhi syarat yang dinyatakan di dalam permit import adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta 728.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!