Young Tigers garang ratah Chile
MALAYSIA menepati ramalan apabila mudah membenam Chile 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.
Lebih manis, kemenangan besar itu berjaya dirakamkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan hadir ke stadium.
Muhammad Harris Iskandar Osman memulakan pesta gol skuad Young Tigers apabila meledak gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-13.
Barisan kendalian Muhammad Amin Rahim itu terus menggamatkan stadium apabila Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar menyumbat gol kedua hasil jaringan padang pada minit ke-23.
Begitupun, Chile mendiamkan seketika kira-kira 6,000 penyokong tempatan apabila berjaya merobek gawang Malaysia hasil jaringan Sebastian Wolansky menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-26.
Tersentak dengan jaringan itu, Young Tigers bangkit lebih garang sebelum meraih dua gol pantas menerusi pukulan sudut penalti Andywalfian Jeffrynus pada minit ke-36 dan Azmilmuizzuddin Misron (m-39).
Barisan pemain negara terus ghairah memburu jaringan dan berjaya menambah dua lagi gol menerusi Mohamad Shamir Rizmi Shamsul dan Shahmie Irfan Suhaimi, masing-masing pada minit ke-41 serta 47.
Shahmie terus membuktikan ketajamannya apabila meledak gol kedua peribadinya selepas menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-55, sekali gus menoktahkan kemenangan bergaya Young Tigers.
Kemenangan itu sudah pasti membakar semangat Young Tigers apabila turun dalam aksi kedua pada Rabu menentang penyandang juara, Argentina yang menewaskan Australia 1-0 petang tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!