Kehidupan rumah tangga sama seperti air laut, ada pasang surut
MERAK Jalanan tertarik dengan laporan Sinar Harian baru-baru ini berhubung kadar perceraian di negara ini tinggi, sementara perkahwinan rendah.
Pasangan paling ramai berpisah adalah dalam kumpulan umur 30 hingga 39 tahun.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan itu, boleh dikatakan perpisahan itu berlaku pada awal usia mendirikan rumah tangga iaitu sekitar lima hingga lapan tahun.
Berhubung perkara itu, pakar motivasi mendedahkan bahawa ketika fasa perkahwinan, lima tahun pertama merupakan tempoh mengenali pasangan apabila sudah tinggal sebumbung.
Ketika ini banyak cabaran dan dugaan daripada pelbagai sudut; antaranya kewangan, keluarga dan anak.
Hubungan suami isteri ini sama seperti laut, ada pasang surutnya. Sekejap bergolak, sekejap tenang.
Namun tidak dinafikan, setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga inginkan sebuah kehidupan bahagia hingga ke akhir hayat dan tiada siapa pun merancang untuk gagal pada awalnya.
Mungkin ada yang kata mengapa perlu bazirkan wang dan masa bagi sebuah perkahwinan tidak berjaya serta menjadi salah satu punca mengapa ramai yang tidak mahu berkahwin.
Sebenarnya, semua ini adalah asam garam kehidupan kerana setiap orang ujiannya berbeza-beza. Ada yang melepasi ujian dan terpaksa berhenti separuh jalan.
Merak Jalanan teringat sewaktu makan di sebuah restoran. Ada pasangan suami isteri warga emas saling menyuap makan dan berbual mesra.
Apa yang bermain di fikiran ketika itu ialah berapa lama usia perkahwinan mereka, apa rahsia kebahagiaan dan apa yang menguatkan hubungan kedua-duanya.
Mungkin orang-orang muda sekarang patut mengambil petua daripada generasi terdahulu untuk mewujudkan hubungan harmoni dalam keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!