Warna-warni Jambatan Gantung Esplanade Temerloh

Suris (kanan) ketika membawa rombongan Perbadanan Putrajaya menaiki jambatan itu pada waktu malam baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Muzzamil
Suris (kanan) ketika membawa rombongan Perbadanan Putrajaya menaiki jambatan itu pada waktu malam baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Muzzamil
A
A
A

TEMERLOH - Ratusan lampu yang dipasang pada Jambatan Gantung Esplanade Temerloh di sini menyebabkan suasana malam di kawasan tersebut menjadi lebih ceria dan menarik.

Ia hasil usaha Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) untuk menambah lebih banyak tarikan pelancongan di daerah itu selain dikenali sebagai bandar ikan patin dan Titik Tengah Semenanjung.

Kerlipan lampu warna-warni sepanjang laluan jambatan itu menjadikan ia antara tarikan terbaharu untuk mereka yang inginkan kelainan ketika bersantai bersama keluarga dan rakan masing-masing khususnya pada hujung minggu.

Suasana malam sekitar jambatan tersebut yang lebih ceria dan menarik pada waktu malam.
Suasana malam sekitar jambatan tersebut yang lebih ceria dan menarik pada waktu malam.

Malah mereka yang penggemar ikan patin, jambatan itu menjadi penghubung ke restoran popular yang menyediakan menu tersebut.

Dan pada waktu siang, jambatan itu tetap berjaya menarik kehadiran orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas jambatan tersebut yang turut berada antara pertemuan Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Jambatan sepanjang 120 meter itu kini menjadi tumpuan masyarakat Temerloh dan sekitarnya mula beroperasi sejak 1 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar di atas jambatan.
Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar di atas jambatan.

Terletak berhampiran Wagga Wagga Avenue atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan Esplanade Temerloh, platform kayu yang dibina daripada kayu cengal itu berjaya menarik kehadiran pengunjung dari Temerloh sendiri malah daerah-daerah berhampiran.

Antaranya seorang guru dari Bera, Nur Farihah Mohd Omar, 36, yang menyifatkan pemandangan menarik menjadi bonus buat tarikan terbaharu tersebut.

"Tak banyak lokasi ada jambatan gantung sebegini dan banyak pemandangan menarik dekat dengan sungai.

Nur Farihah (dua dari kanan) dan Siti Nurulhidayu (kiri) bersama anak mereka.
Nur Farihah (dua dari kanan) dan Siti Nurulhidayu (kiri) bersama anak mereka.

"Saya boleh bawa anak-anak ke sini selain ke taman permainan dan melatih mereka menjadi lebih berani dengan pengalaman mereka menaiki jambatan gantung," kata wanita tersebut.

Rakannya, Siti Nurulhidayu Sadudi, 37, turut memuji usaha yang diambil oleh MPT selain berharap lebih banyak lokasi menarik dapat diperkenalkan kepada orang ramai.

Laluan sepanjang 120 meter di antara pertemuan Sungai Pahang dan Sungai menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Temerloh.
Laluan sepanjang 120 meter di antara pertemuan Sungai Pahang dan Sungai menjadi tarikan pelancongan terbaharu di Temerloh.

"Kelebihan jambatan ini dengan pemandangan menarik sebegini perlu dijaga sebaik mungkin," ujar Siti lagi.

Seorang penjawat awam, Mohd Muzzamil Mohd Zaini, 25, mengakui tidak pernah pergi ke jambatan itu sebelum ini walaupun banyak kali melalui lokasi tersebut.

"Tak pernah singgah, ini kali pertama datang dan saya rasa ia sesuai untuk orang ramai beriadah dan menikmati pemandangan yang ada," jelasnya.

Sementara itu Yang Dipertua MPT, Suris Mihat memberitahu, pemasangan lampu warna-warni di sekitar jambatan tersebut yang siap dibina pada 2012 itu sebagai kelainan berbanding jambatan gantung sedia ada.

"Ia antara usaha mempelbagaikan produk pelancongan di Temerloh dan beberapa inovasi akan dilakukan selepas ini sebagai tarikan di jambatan terbabit.

"Kita merancang untuk menjadikan platform jambatan itu berwarna dengan iringan muzik tersendiri sebagai kelainan... trend setter," kata beliau.

Tambah beliau, buat masa ini tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung sehingga 15 Disember ini.

Ratusan lampu yang dipasang pada jambatan itu menarik kehadiran pengunjung pada waktu malam.
Ratusan lampu yang dipasang pada jambatan itu menarik kehadiran pengunjung pada waktu malam.

Jelas Suris, bayaran yang dikenakan berpatutan untuk orang ramai dan berharap jambatan yang menelan kos RM450,000 itu menjadi tarikan terbaharu di Temerloh.

Jambatan yang turut memiliki dua menara itu beroperasi dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam setiap hari dan dikendalikan di bawah Koperasi Kakitangan MPT Berhad.

Dengan ketinggian 36.5 meter dari aras sungai, jambatan itu selamat ketika banjir besar pada 2014 lalu.

Tamat..

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!