Polis mohon bantuan kesan kanak-kanak hilang sejak Oktober lepas
KUALA LUMPUR - Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak 26 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Muhammad Khairul Ikhwan Muhammad Rashid yang kali terakhir berada di rumah di Desa Mentari 2, Petaling Jaya pada jam 1.30 tengah hari.
Beliau berkata, polis menerima laporan kehilangannya pada 24 November lepas.
"Kanak-kanak lelaki berkenaan berkulit sawo matang, berbadan kurus, berambut pendek serta pakaian terakhir adalah baju-T dan seluar trek berwarna hitam semasa keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi mangsa itu berada supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03- 79662222. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!