Dipanah petir: Mangsa cerita pengalaman ngeri

Mangsa panahan petir, Nor Lelawati Abu Bakar masih trauma dalam kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini pada Isnin.
Mangsa panahan petir, Nor Lelawati Abu Bakar masih trauma dalam kejadian di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini pada Isnin.
A
A
A

KANGAR - Seorang wanita berkongsi pengalaman ngeri apabila nyaris maut akibat dipanah petir di Kampung Permatang Kerisek, Simpang Empat, di sini pada Isnin.

Mangsa, Nor Lelawati Abu Bakar, 39, berkata, kejadian turut menimpa anak lelakinya, Muhamad Azizul Jaafar, 8, dan ia berlaku sekelip mata dalam keadaan cuaca hujan renyai kira-kira jam 7 malam.

Menurut penyemai benih padi itu, dia bersyukur dirinya dan anak lelakinya terselamat walaupun mengalami kecederaan dan trauma akibat kejadian itu.

"Ketika itu, kami berjalan kaki dan keadaan pada waktu itu hujan renyai. Sebaik melalui denai antara pokok asam jawa dan pokok gonchar saya terdengar satu dentuman kuat berserta cahaya.

“Tiba-tiba saya terpelanting ke hadapan dan terasa seolah-olah dihentak dengan benda berat dari belakang serta badan terasa sangat panas ketika itu," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebelum pengsan, dia sempat melihat Muhammad Azizul jatuh tertiarap tidak sedarkan diri berhampiran dirinya.

Kata Nor Lelawati, anak sulungnya segera mendapatkan suaminya, Jaafar Saidin, 65, dan beberapa lagi pekerja tapak semaian berhampiran rumah mereka selepas kejadian itu untuk bantuan.

Menurutnya lagi, dia hanya sedar ketika berada dalam kereta sewaktu suaminya membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Artikel Berkaitan:

Nor Lelawati berkata, dia dimaklumkan bahawa anak lelakinya tidak sedarkan diri dan hampir keseluruhan badannya melecur.

ARTIKEL BERKAITAN:Kanak-kanak lelaki melecur hampir seluruh badan dipanah petir

Tambahnya, Muhamad Azizul kembali bernafas semula ketika sebuah lagi kereta yang membawanya itu menghampiri hospital.

Dalam kejadian itu, Nor Lelawati disahkan mengalami trauma tanpa sebarang kecederaan serius, manakala anaknya melecur 25 peratus di bahagian badan terutamanya sekitar leher, perut dan kaki kiri.

Muhamad Azizul terpaksa ditidurkan semula berikutan kecederaan serius itu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, bagi menjalani pemeriksaan lanjut pakar kulit awal pagi Selasa.

Difahamkan, Muhamad Azizul dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala ibunya masih mengalami kesakitan pada bahagian dada terutama ketika bernafas.

Dalam pada itu, menurut saksi kejadian yang juga abang kepada mangsa, Amirizal Jaafar, 32, dan rakannya, Che Muhammad Che Natt, 34, berkata, ketika kejadian, mereka sedang menyiapkan kerja membetulkan atap di kilang membakar sekam yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa.

“Semasa kejadian, kami ternampak cahaya putih menyambar kawasan yang dilalui mereka diikuti bunyi dentuman seperti letupan mercun pertunjukan.

“Selepas itu, kami lihat kedua-dua mangsa rebah bergelimpangan di perdu antara pokok asam jawa dan pokok gonchar di laluan terbabit," katanya.

Amirizal dan Che Muhammad memaklumkan mereka segera mengangkat mangsa dan mendakwa ada terhidu kesan hangit pada badan Muhamad Azizul.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera dengan kesan melecur pada hampir seluruh badan akibat dipanah petir dalam kejadian di Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, Muhamad Azizul Jaafar bersama ibunya, Nor Lelawati Abu Bakar, 39, sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah mereka dari rumah jiran dalam kejadian jam 7 malam itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!