Perak fokus Jualan Rahmah di kampung, pekan kecil tahun hadapan

Kah Leong pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Rabu.
Kah Leong pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Program Jualan Rahmah di Perak akan dilaksanakan dalam skala lebih luas tahun hadapan dengan memberi tumpuan terhadap kampung-kampung kecil dan kawasan luar bandar.

Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong berkata, perkara itu bagi memberi peluang lebih ramai rakyat menerima manfaat daripada jualan murah dan menjimatkan barangan keperluan harian yang ditawarkan.

"Saya terima cadangan Yang Berhormat supaya kita rancakkan lagi inisiatif Jualan Rahmah ini di kampung-kampung atau kawasan luar bandar sedikit.

"Asalkan ada yang memerlukan, kita akan adakan jualan ini tidak kiralah di kawasan Kota Tampan (Menteri Besar) ataupun Gunung Semanggol (Ketua Pembangkang), kita akan pastikan barangan itu sampai ke tangan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan dibuat Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) yang menyarankan Jualan Rahmah diperluas di kawasan kampung kecil sempena sesi penggulungan Enakmen Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Kah Leong berkata, berdasarkan rekod tahun ini, sebanyak 400 Jualan Rahmah berjaya dilaksanakan di semua 24 Parlimen dan 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Katanya, di sesetengah kawasan, ada wakil rakyat mengambil inisiatif memberikan subsidi pada harga barangan yang ditawarkan dalam Jualan Rahmah.

"Contoh beras 5 kilogram yang dijual di kebanyakan Jualan Rahmah adalah RM15 sahaja dan jadi lebih murah selepas wakil rakyat bagi subsidi.

Artikel Berkaitan:

"Seperti apa yang berlaku di Jualan Rahmah Parlimen Teluk Intan di mana sebanyak 2,000 kampit beras 5 kilogram hanya dijual pada RM12," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu turut memberi jaminan, usaha payung Rahmah di negeri ini akan dirancakkan agar kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan semaksimum mungkin.

Katanya, langkah itu termasuklah menggalakkan lebih ramai pengusaha makanan dan restoran menyertai program Menu Rahmah demi membolehkan rakyat ada lebih banyak pilihan.

Ujar beliau, sejak diperkenalkan Januari lalu, seramai 186 pengusaha makanan di negeri ini telah mendaftar menyertai program Menu Rahmah.

"Saya difahamkan ada banyak pengusaha restoran yang menawarkan Menu Rahmah, tetapi tidak mendaftarkan diri.

"Itu sebabnya statistik rasmi ini tidak memaparkan keadaan sebenar dan saya percaya sebenarnya ada ramai lagi pengusaha makanan yang menyertai program tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!