Peluang Hawks kembali semula ke Liga Super cerah
PELUANG Kuala Lumpur untuk kembali ke Liga Super 2021 cerah berikutan persaingan Liga Premier 2020 tidak terlalu sengit.
Pengendali Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, The Hawks hanya perlu bersaing dengan empat atau lima pasukan selepas pertambahan feeder club.
“Liga Premier memang akan kurang sedikit persaingan dan saya percaya pemain boleh merealisasikan misi untuk kembali ke Liga Super 2021.
“Kita hanya perlu bersaing dengan beberapa seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan.
“Empat lagi feeder club tidak akan naik ke Liga Super, ini memberikan kelebihan untuk kembali beraksi pada saingan Liga Super 2021,” katanya.
Untuk musim depan, Liga Premier akan mempunyai empat feeder club iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Terengganu FC II, Selangor II dan Perak II.
Bagaimanapun, Mohd Nidzam tidak mahu terlalu yakin sebaliknya mengharapkan persembahan konsisten dipamerkan pemainnya sepanjang saingan Liga Premier 2020.
“Kami tetap tidak boleh ambil mudah cabaran daripada pasukan lain kerana setiap pasukan mempunyai kelebihan. Yang penting setiap pemain kena berusaha memastikan Kuala Lumpur dapat menampilkan persembahan yang baik dalam setiap perlawanan,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan menjelang saingan liga musim depan, Mohd Nidzam mengesahkan pihak pengurusan sedang merancang perlawanan persahabatan di luar negara.
“Siri perlawanan persahabatan mungkin akan diadakan pada Januari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!