Taska di Pekan Gopeng terbakar
GOPENG - Sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Pekan Gopeng terbakar sebelum sesi pembelajaran bermula pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Mohamad Nasir Mohamad Arshad berkata, kebakaran bermula dari bahagian stor itu disedari oleh salah seorang guru sebelum menghubungi balai pada jam 7.38 pagi.
Menurut beliau, seramai 29 anggota dibantu pasukan dari BBP Kampar dan Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Pasukan yang tiba dua minit kemudian meneruskan operasi pemadaman.
"Api berjaya dikawal sekitar jam 8.20 pagi daripada merebak ke bangunan Pejabat Penghulu Mukim Teja dan rumah kedai berhampiran.
"Operasi diteruskan sehingga api berjaya padam sepenuhnya.
"Kebakaran itu memusnahkan 60 peratus bangunan melibatkan bahagian stor dan dapur," katanya ketika dihubungi di sini.
Mohamad Nasir berkata, insiden tersebut tidak melibatkan mangsa dan operasi tamat pada jam 9.29 pagi.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati bangunan tersebut tidak selamat diduduki dan siasatan diteruskan bagi mengetahui punca kebakaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!