Pulau Pinang bina asrama untuk 8,000 pekerja asing
GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mendirikan sebuah projek perumahan pekerja asing di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan yang dijangka siap pada 2026 nanti.
Asrama pekerja yang boleh menempatkan 8,000 pekerja asing yang mempunyai dua fasa itu akan dilengkapi fasiliti antaranya kedai runcit, dobi, klinik, surau, kemudahan sukan, kawasan rekreasi, bilik kuarantin dan beberapa lagi.
Projek tersebut merangkumi lima tingkat asrama pekerja dengan 445 unit asrama.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang berkenaan menandakan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di Pulau Pinang.
Menurutnya, selain itu, pembangunan itu juga membantu kerajaan negeri menyelesaikan beberapa masalah berhubung pekerja asing di negeri ini.
"Kita mendapat aduan umum mengenai kebanjiran warga asing yang mendiami skim perumahan sedia ada yang mana, secara tidak langsung dipercayai menimbulkan isu keselamatan dan keselesaan penduduk tempatan.
"Selain itu, projek ini juga dapat menangani isu susut nilai hartanah apabila terdapat pekerja asing di sesuatu kawasan kediaman serta kedatangan warga asing yang tidak berdaftar," katanya.
Kon Yeow sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan 'Workers Village' di Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) antara MY EG Lodaing (NC) Sdn Bhd dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sebuah hotal di sini pada Rabu.
Beliau yang juga Pengerusi PDC berkata, PDC telah mengiklankan 'Request For Proposal' (RFP) selama dua bulan iaitu dari 29 September hingga 29 November 2022.
"PDC telah menerima tawaran daripada tiga buah syarikat dan tawaran-tawaran tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga Tawaran PDC dan juga Lembaga PDC sebelum tawaran ini diberikan kepada MY EG Lodging (NC) Sdn Bhd dengan syarat-syarat.
"Saya berharap projek ini bukan sahaja dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara amnya dan negeri khususnya malah dapat menyelesaikan masalah sosial, pencemaran serta budaya kepada penduduk sekitar," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, perjanjian pajakan bagi projek bernilai RM20.4 juta itu adalah untuk tempoh sepanjang 30 tahun.
Menurutnya, perjanjian itu memberi MY EG Lodging hak untuk membina dan mengendalikan projek perumahan pekerja asing dan fasiliti berkaitan di atas tanah seluas 3.39 hektar di BKIP 3.
"Anggaran kos pembangunan projek ini adalah RM108 juta dan pembangunan dijangka bermula setelah mendapat kelulusan pelan dan reka bentuk daripada pihak berkuasa yang berkaitan.
"Tujuan projek ini adalah untuk menyediakan penyelesaian penginapan pekerja asing kepada sektor swasta khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Selaras dengan komitmen Kerajaan Pulau Pinang kepada pembangunan lestari, MY EG Lodging berusaha untuk mencapai sekurang-kurangnya pengiktirafan Gangsa GreenRE bagi projek ini.
"Projek perumahan pekerja asing ini akan bertindak sebagai penyelesaian komprehensif yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!