Kes saman Siti Nordiana: Tiada siapa betul atau salah - Peguam
PUCHONG - Tindakan menyelesaikan kemelut di luar mahkamah antara Siti Nordiana, 39, dengan lima sekawan termasuk Syura Badron, 37; Lan Solo, 38, dan tiga yang lain merupakan jalan penyelesaian yang diambil apabila tiada pengakuan siapa betul dan salah.
Peguam yang mewakili Syura, Lan dan isteri iaitu Azlan Abdul Razak berkata, sewaktu berlangsungnya prosiding minggu lalu, telah berlaku masalah dari segi perjalanan kes, teknikal dan komunikasi mahkamah.
Susulan itu, beliau memberitahu bahawa hakim telah menangguh sebentar perbicaraan dan memanggil para peguam untuk berjumpa di kamarnya.
“Sewaktu di kamar hakim, kita berbincang tentang cara untuk menyelesaikan masalah ini.
"Ketika itu, saya memaklumkan kepada hakim, sejak dari awal anak guam terbuka untuk menyelesaikan hal tersebut tanpa perbicaraan penuh.
“Hakim mencadangkan kepada pihak-pihak untuk berbincang semula tentang keperluan menyelesaikan perkara berkenaan di luar mahkamah.
“Susulan itu, kami (peguam) berjumpa semula dengan anak guam masing-masing dan berbincang.
"Akhirnya semalam, kami datang ke mahkamah dan menyampaikan berita baik (selesaikan kes luar mahkamah) kepada hakim,” katanya ketika sidang media di kediaman Lan pada Rabu.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kes saman fitnah penyanyi, Siti Nordiana Alias terhadap lima rakan artis berkaitan siaran langsung dalam laman sosial, Instagram selesai secara baik selepas kedua-dua pihak saling bermaafan dan memilih untuk tidak memanjangkan perbicaraan yang berlarutan selama dua tahun.
Lima sekawan itu ialah penyanyi Lan Solo, Syura Badron; isteri Lan, Nur Sheila Hassim; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.
Dalam pada itu, Azlan berkongsi tiga terma yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak antaranya, plaintif dan defendan perlu memohon maaf dan saling memaafkan antara satu sama lain.
Seterusnya, Siti Nordiana tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula kes dan tiada sebarang kos yang perlu dibayar oleh kedua-dua pihak.
Beliau berkata, ia merupakan terma yang telah direkodkan di hadapan hakim semalam.
Ketika diminta untuk mengulas tentang tujuan sidang media dilakukan, Azlan berkata, pihaknya tidak mahu orang ramai salah faham mengenai penyelesaian kes di luar mahkamah.
“Kes ini tidak ditarik balik sebaliknya dilupuskan.
"Dalam hal ini, tidak ada mana-mana pihak yang betul atau salah, menang atau kalah.
“Pihak Siti Nordiana telah pun memohon maaf dan begitu juga anak guam saya.
"Kes ini selesai dengan terma Penghakiman Persetujuan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!