Kerajaan Kelantan tidak serius tangani konflik manusia, hidupan liar - SAM
KOTA BHARU - Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, konflik manusia dan hidupan liar di negeri ini berpunca daripada sikap pemimpin kerajaan Pas Kelantan yang tidak berpegang teguh kepada surah Ar-Rum ayat 41.
Menurut beliau, ayat tersebut jelas menceritakan segala kerosakan dan bala bencana di darat serta di laut berlaku disebabkan oleh tangan-tangan manusia.
"Saya yakin dan percaya, jika pemimpin kerajaan negeri memahami terjemahan serta kandungan mesej yang disampaikan itu mereka tidak mungkin akan melakukannya.
"Namun sayang... mereka tidak menghayati kandungan ayat tersebut walaupun mempunyai ilmu agama yang tinggi. Sepatutnya mereka yang faham kandungan ayat itu perlu amalkannya dan urus hutan dengan baik," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas konflik antara manusia dan hidupan liar yang semakin menjadi-jadi di Kelantan ketika ini.
Meor Razak memberitahu, pemipin kerajaan negeri perlu berpegang teguh kepada ayat tersebut jika benar-benar bersungguh untuk meredakan konflik manusia dengan hidupan liar.
Ujarnya, tidak wajar menyalahkan takdir disebalik musibah tersebut sedangkan tiada sebarang usaha diambil untuk mengatasinya.
"Saya yakin, jika hutan diurus dengan betul masalah ini tidak akan berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Meor Razak berkata, Kerajaan Kelantan dilihat tidak serius untuk menyelesaikan masalah ini.
Tambahnya, ia dapat dilihat apabila tiada respon diberikan kerajaan negeri walaupun SAM telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Besar sebelum ini termasuklah menulis surat dan memorandum.
"Satu patah perkataan pun tidak direspon. Untuk hadapi koflik ini, ikutlah garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, seorang pekerja ladang maut dipercayai dilanyak oleh seekor gajah dalam kejadian di Ladang Upayapadu, Sungai Bayu di Gua Musang pada Isnin.
Warga Indonesia yang maut itu dikenali sebagai Sandra Kirana Sinaga, 39, dikatakan diserang oleh gajah liar dari jenis Elephas Maximus.
Pada hari yang sama, selepas Gua Musang, harimau belang dikatakan muncul di kawasan Bukit Bakar, Machang.
Kemunculan haiwan karnivor itu telah mengejutkan para pekerja di tapak pembinaan lebuh raya Bukit Tiu-Kampung Berangan Mek Nab apabila bangkai seekor lembu ditemukan mati dibaham pak belang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!