Larangan mendaki bukit masih berkuat kuasa

Ismail Abdul Ghani
Ismail Abdul Ghani
A
A
A

KUANTAN - Peraturan larangan bagi aktiviti mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di Pahang sepanjang musim Monsun Timur Laut ketika ini masih berkuat kuasa walaupun keadaan cuaca baik.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Ismail Abdul Ghani berkata, kawasan-kawasan rekreasi biasanya di bawah seliaan agensi yang bertanggungjawab termasuk aspek pengendalian dan keselamatannya.

Menurutnya, agensi yang bertanggungjawab biasanya akan mendapatkan nasihat daripada agensi-agensi lain yang berkaitan sebelum membuat keputusan untuk membuka semula pusat rekreasi kepada awam.

"Secara umum Monsun Timur Laut masih belum tamat kerana biasanya ia hanya akan berakhir pada penghujung Januari.

"Kami berpandangan semua agensi masih lagi dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan akibat monsun ini," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada orang ramai boleh meneruskan aktiviti riadah di hutan dan bukit seperti aktiviti pendakian dalam keadaan cuaca baik ketika ini.

Katanya, pihaknya berharap semua operator pusat-pusat rekreasi mengutamakan aspek dan risiko sebelum membuat keputusan memulakan operasi.

Pada 20 November lalu, peraturan larangan bagi aktiviti mendaki bukit, gunung dan riadah di pusat rekreasi di negeri ini sepanjang musim Monsun Timur Laut dikuatkuasakan sehingga 20 Januari 2020 atau satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak dalam kenyataan berhubung penguatkuasaan larangan itu sebelum ini berkata, tindakan itu mengambil kira kemungkinan dan kesan buruk yang boleh berlaku.

Larangan aktiviti pendakian bukit atau gunung sama ada secara persendirian atau berkumpulan turut tertakluk melibatkan kawasan yang dikawal oleh pihak kerajaan negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!