Final Piala Malaysia mungkin kekal di Bukit Jalil
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi bayangan final Piala Malaysia pada Jumaat ini kekal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil meskipun status rumput yang mengalami kerosakan mencetuskan tanda tanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalinggam berharap segala persiapan berjalan lancar termasuk kondisi padang yang bersedia menjadi gelanggang perlawanan akhir.
“Tumpuan kami adalah untuk aksi final ini. Kami berharap segalanya berjalan dengan lancar.
“Banyak persiapan yang dilakukan bagi menjayakan aksi final ini. Kami kekal fokus untuk memastikan venue final di Bukit Jalil,” ujar Stuart.
Rumput venue keramat skuad Harimau Malaya itu menjadi bualan peminat bola sepak selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar padang tersebut yang masih rosak selepas konsert kumpulan Coldplay baru-baru ini.
Perkembangan itu mengundang persoalan sama ada padang tersebut sudah bersedia digunakan untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat ini.
Malah MFL menerusi Facebook memuat naik info parkir dan laluan kenderaan buat kedua-dua penyokong pasukan tersebut.
Bas bagi penyokong JDT ditempatkan di parkir F berdepan Stadium Hoki Nasional, manakala bas buat peminat TFC pula boleh diletakkan di parkir Taman Teknologi Malaysia (TPM).
Sebelum ini Tunku Ismail yang juga pemilik JDT menjadi watak penting, selain penaja untuk menukar rumput jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia di SNBJ itu.
Insiden padang ‘terkoyak’ ketika aksi Harimau Malaya menentang India pada kempen Pestabola Merdeka, Oktober lalu mengundang kecaman peminat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!