Guru wanita rugi RM150,000 diperdaya 'phone scam'
KUCHING - Seorang guru wanita kerugian RM150,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 19 Oktober lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa yang berusia awal 30-an dari daerah Saratok itu, telah menerima panggilan daripada MCMC menyatakan nombor telefonnya telah digunakan untuk membuat iklan palsu di Seremban.
"Panggilan itu kemudian disambungkan ke beberapa individu sebelum mangsa diarahkan membuat pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan kononnya bagi siasatan pihak Bank Negara.
"Mangsa yang panik telah membuat 19 pemindahan wang berjumlah lebih-kurang RM125,000 ke tujuh akaun bank suspek dari pertengahan Oktober hingga pertengahan November lepas," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Mancha berkata, pada Selasa lepas mangsa sekali lagi diminta oleh suspek untuk mengeluarkan duit sebanyak RM29,000 serta diarahkan membaling duit itu di kawasan semak.
Menurutnya, wanita itu menuruti arahan suspek tetapi semasa berpatah balik dia mendapati duit tersebut sudah tiada dan ketika itu baru mangsa tersedar dirinya telah ditipu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!