[VIDEO] Keluarga ikhtiar, solat hajat cari Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Ibu kepada kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang sejak Selasa, Ismanira Abdul Manaf, 28, mahu melakukan kaedah perubatan Islam bagi mengesan keberadaan anaknya.
Ismanira berkata, sudah 24 jam Zayn Rayyan Abdul Matiin dilaporkan hilang dan jika masih tidak ditemui, dia akan cuba ikhtiar secara Islam melalui solat hajat dan sebagainya untuk mencari anaknya itu.
“Dia tidak pernah lepas daripada saya dan suami sebelum ini. Saya bimbang keselamatan Zayn kerana dia tidak pernah berseorangan dan hanya boleh menyebut mummy, daddy,” katanya ketika ditemui di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, pada Rabu.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu kali terakhir dilihat bermain di taman permainan di apartmen berkenaan sebelum memasuki kawasan belukar di kediaman terbabit.
Ismanira berkata, nalurinya kuat merasakan Zayn Rayyan tidak pergi jauh dan masih berada di kawasan tersebut.
"Zayn mungkin tersalah masuk rumah orang. Anak saya istimewa, jadi dia akan masuk mana-mana rumah kalau pintu itu terbuka, itu naluri saya sahaja," katanya.
Menceritakan kembali kronologi kejadian tersebut, Ismanira memaklumkan sebelum kejadian dia pergi membeli barang di kedai, kemudian mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Damai 2 (SKDD2) dan pulang ke rumah.
"Sebaik tiba di kawasan perumahan, Zayn mahu bermain buaian di taman permainan.
"Saya turuti permintaannya dan menunggu dia bermain buaian selama beberapa minit sebelum memujuknya naik ke rumah," katanya.
Ismanira berkata, ketika menaiki tangga, dia memegang barang yang baru dibeli dan beg sekolah, sementara Zayn Rayyan pula mengekori dari belakang.
"Namun, selepas beberapa langkah saya memanggil namanya, dia tidak menjawab dan apabila saya toleh lihat dia sudah tiada," katanya.
Kerani di sebuah syarikat swasta itu berkata, dia kemudian mencari anaknya itu di kawasan sekitar, namun gagal ditemui sebelum memberitahu suaminya dan penduduk setempat untuk membantu mencari Zayn Rayyan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta unit anjing pengesan (K9) polis membantu melakukan operasi pencarian di sekitar kawasan perumahan berkenaan.
Ismanira turut merayu orang ramai membantu mengesan anaknya itu dan berharap Zayn Rayyan segera ditemui dengan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!