Pesalah cemar Sungai Kim Kim patut didenda RM10 juta, penjara - Exco

Raven
Raven
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menegaskan hukuman terhadap pesalah yang bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019 sepatutnya dikenakan denda lebih tinggi termasuk penjara.

Exco Alam Sekitar Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, hukuman sedia ada dirasakan tidak berbaloi serta terlalu ringan kerana insiden pencemaran di Pasir Gudang itu telah menjejaskan kesihatan orang ramai.

"Kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengeluarkan belanja yang banyak, tetapi apabila hukuman diberi dilihat tidak berbaloi, ia menyedihkan.

"Namun dalam masa sama kita tidak menyalahkan mahkamah, sebaliknya perlu lihat semula akta dan denda ditetapkan.

"Disebabkan itu, hukuman perlu ditingkatkan terutama melibatkan kes seumpama ini, jumlah denda boleh dinaikkan sehingga RM5 juta atau RM10 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Raven menambah, kerajaan negeri juga akan membantu memudahkan urusan saman kepada pelaku sekiranya ia dibuat berlandaskan undang-undang.

Raven (empat dari kanan) hadir Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Kota Iskandar, pada Rabu.
Raven (empat dari kanan) hadir Majlis Penyerahan Kerusi Kitar Semula di Kota Iskandar, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena tengok dari segi undang-undang. Kalau dibenarkan mesti kerajaan negeri akan membantu.

"Namun pada akhirnya sebagai pengerusi jawatankuasa alam sekitar saya mengharapkan penalti tu kena tinggi. Mesti kena tinggi, tidak boleh rendah. Itu baru adil," katanya.

Pada 30 November lalu, seorang pemandu lori didenda maksimum RM100,000 kerana menyebabkan kejadian pencemaran membabitkan pelupusan haram buangan terjadual di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada 2019.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan, N Maridass didapati melepaskan enap cemar berminyak seperti yang tersenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke sungai itu.

JAS memaklumkan syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, juga didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan denda RM320,000.

Insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac 2019 telah menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup.

Kejadian itu turut menyaksikan seramai 947 orang awam diberikan dirawat dengan sembilan daripada mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!