Cahaya di langit Kuala Lumpur

Kuala Lumpur akan dihiasi percikan bunga api bertemakan Pertunjukan Cahaya di Langit.
Kuala Lumpur akan dihiasi percikan bunga api bertemakan Pertunjukan Cahaya di Langit.
A
A
A

SHAH ALAM - Langit ibu kota Kuala Lumpur bakal dihiasi dengan percikan bunga api berwarna-warni yang dijangka berlangsung selama 10 minit bersempena Program Ambang 2020@Kuala Lumpur di Dataran Merdeka esok.

Bertemakan Pertunjukan Cahaya di Langit, acara itu dijangka mengetengahkan keunikan dan keistimewaan Malaysia dengan 11 formasi istimewa selepas detik Tahun Baru 2020.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, selain program tersebut, terdapat tiga acara besar lain iaitu Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2019 dan Majlis Pelancaran Video Kempen Nilai-Nilai Murni serta persembahan ‘Extravaganza Malaysia Time Capsule’ oleh Istana Budaya pada hari sama.

“Program yang bermula dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah malam itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata kenyataan itu.

Program Ambang 2020@Kuala Lumpur akan diadakan di Dataran Merdeka esok.
Program Ambang 2020@Kuala Lumpur akan diadakan di Dataran Merdeka esok.

Menurutnya, Program Ambang 2020@Kuala Lumpur juga akan dimeriahkan dengan persembahan daripada selebriti tempatan antaranya Datuk Jeffrydin, Elvira Mentor, Asmidar, Siti Nordiana dan penyanyi Korea Selatan, Han Byul.

Sementara itu, persembahan flashmob bakal diadakan di pusat membeli-belah Avenue K dan pekarangan Pavilion, Bukit Bintang, masing-masing pada 27 dan 28 Disember ini bertujuan mempromosikan Program Ambang 2020@Kuala Lumpur.

Program berkenaan merupakan inisiatif kerajaan dalam memupuk perpaduan masyarakat pelbagai kaum selain menggalakkan pelancongan negara serta mengetengahkan tradisi menyambut perayaan seperti Krismas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!