'Yang gila talak inilah menang besar' - Pas
PUTRAJAYA - Meskipun digelar gila talak oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hakikatnya Pas memperoleh kemenangan besar berbanding UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang lalu.
Ujar Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, posisi Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah gagal dimanfaatkan untuk memikat undi masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu.
"Biarlah Presiden UMNO menyatakan Pas gila talak, hakikatnya yang gila talak inilah yang menang lebih besar berbanding yang sedang mengata nista," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Malah dakwa Ahmad Fadhli, satu-satunya ‘kejayaan paling besar’ Ahmad Zahid adalah menyelamatkan diri dari terus didakwa atas 47 pertuduhan jenayah.
"Sayangnya yang berdegar-degar melaungkan agenda reformasi itulah yang sedang menjulang agenda menyelamatkan Ahmad Zahid," sinis beliau.
Mengambil contoh dari filem Ronin 47 yang mengisahkan sekumpulan samurai yang sanggup berkorban demi harga diri dan maruah, Ahmad Fadhli berkata:
"'Zahid 47 ialah kisah seorang tokoh yang sanggup menenggelamkan bahtera perjuangannya sendiri.
"Benar atau tidak, tunggulah sahaja," katanya.
Beliau berkata, Ahmad Zahid sebagai nakhoda gagal yang sedang membawa kapal karam.
"Sayangnya, anak-anak kapal di sekelilingnya tiada yang berani menegur bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu sedangkan sangat jelas kapal yang sedang dinaiki karam sedikit demi sedikit," katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan usaha agenda perpaduan ummah tidak pernah akan berakhir.
"Pas akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli UMNO dari terus karam sama ada menyelamatkan kapal atau menjemput mereka menyertai kapal yang lain," katanya.
@sinarharianonline Biarlah Presiden UMNO menyatakan Pas gila talak, hakikatnya... - Ahmad Fadhli #fyp#SinarHarian#AhmadFadhli#Pas#UMNO#GilaTalak#PRKKemaman#PilihanRaya#Melayu#AhmadZahidHamidi#Terengganu bunyi asal - MrYoeOrangeTruck
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!