Pekerja ladang 'kantoi' simpan senapang angin
SEMPORNA - Tindakan seorang pekerja ladang menyimpan senapang buatan sendiri membawa padah apabila ditahan di sebuah rumah pekerja syarikat ladang kelapa sawit di sini pada Selasa.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam, lelaki warga asing berusia 38 tahun itu ditahan bersama dua senapang angin serta peluru jenis guli.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dan rampasan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
"Hasil daripada maklumat orang ramai, sebuah rumah pekerja ladang diserbu dan berjaya menahan seorang lelaki di rumah tersebut.
"Hasil pemeriksaan berjaya merampas dua senapang angin dan 66 biji guli serta spirit untuk kegunaan senjata tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, suspek kemudian di bawa ke IPD Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
"Suspek dipercayai menyimpan senapang angin itu untuk tujuan memburu haiwan di hutan.
"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Farhan dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai dilarang memiliki atau menyimpan senjata tanpa sebarang permit yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!