ASEAN Mall hab lonjakkan ekonomi halal serantau

A
A
A

KERJASAMA erat antara negara-negara ASEAN penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara serantau, khususnya industri halal.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, sebuah hab atau gateway yang sesuai diperlukan bagi memudahcara kerja-kerja pemasaran produk untuk menembusi pasaran di negara tertentu.

Menurutnya, persefahaman yang dibentuk antara negara jiran dalam menjaga kepentingan bersama berdasarkan prinsip menguntungkan semua pihak antara pemain industri dan kerajaan amat diperlukan.

“Bukan mudah pasarkan produk di luar negara kerana perlukan pelbagai kriteria selain berdepan kekangan serta kerenah yang perlu dihadapi usahawan tempatan.

“Komuniti perniagaan, khususnya peniaga-peniaga Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan negara ASEAN lain wajar memanfaatkan kewujudan ASEAN Mall yang bukan sahaja berperanan sebagai hab strategik mempertemukan usahawan serantau, malah menyediakan laluan mudah dalam memasarkan produk halal ke Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup ASEAN Halal Expo 2023 & pelancaran ASEAN Halal Expo 2024 di ASEAN Mall, Pattani, Thailand mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada Ahad, disertai 170 usahawan negara ASEAN.

Hadir sama, Pengarah ASEAN Mall, Datuk Jamal Mohd Amin; Pengarah ASEAN Halal Expo 2023, Mohd Zamri Said; wakil Konsulat Malaysia di Songkhla, Mohd Yusri Daud serta Pengerusi Institut Halal, Prince Songkhla University, Dr Azman Tae Ali.

Mohd Salleh berkata, kedudukan Kedah yang bersempadan dengan Thailand diharapkan dapat melonjakkan lagi ekonomi negeri ini dengan adanya hab seumpama.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan ASEAN Mall bukanlah pasar raya 'biasa-biasa', ia merupakan pasar raya wakaf pertama di dunia hasil inisiatif dan kerjasama syarikat Malaysia serta Thailand. Tiada siapa boleh nafikan ia satu usaha yang baik kerana menggerakkan tuntutan dunia, iaitu perniagaan yang seiring dengan tuntutan akhirat atau amalan berwakaf,” ujarnya.

Menurutnya, usaha dimainkan ASEAN Mall ini harus disokong kerana ia memperlihatkan kesatuan antara kegiatan ekonomi dan manfaat sosial.

“Maksudnya, ia bukan semata-mata mencipta kekayaan tetapi memberi pekerjaan dan membuka peluang perniagaan serta pelaburan, selain memberi kesempatan beramal jariah,” jelasnya.

Mohd Salleh berharap agar ASEAN Mall dapat membantu usahawan-usahawan Kedah, sama ada dalam bentuk penawaran peluang, bimbingan, khidmat nasihat atau sebagainya.

“Saya akan berusaha memastikan usahawan Kedah merebut peluang disediakan dan menjadikan ASEAN Mall sebagai medium memperluaskan pasaran produk di Thailand serta negara-negara ASEAN lain.

“Saya yakin dengan kepakaran dan pengalaman dimiliki pasar raya berkenaan, usahawan Kedah akan memperoleh banyak manfaat,” katanya lagi.

Memandangkan ASEAN Mall merupakan hab yang berdaya maju dalam memasarkan produk, Mohd Salleh turut memasarkan produk Kedah, iaitu 'Tahun Melawat Kedah 2025’ dengan mempelawa masyarakat ASEAN menjadikan Kedah sebagai destinasi pelancongan.

“Selain Pulau Langkawi sebagai permata Kedah, negeri ini juga memiliki banyak aset dan produk pelancongan, antaranya tapak arkeologi purba berusia lebih 3,000 tahun. Tarikan lain, Jerai Geopark serta tasik, pulau, air terjun, hutan dan sawah yang menghijau, pastinya menepati selera pengunjung yang cintai alam semula jadi.

“Kedah juga kaya warisan budaya, daripada seni kulinari sehinggalah seni nyanyi dan tari. Seni bina Kedah yang merupakan antara 10 masjid tercantik dunia, Masjid Zahir dan Balai Besar di Alor Setar berusia ratusan tahun menjadi saksi kehebatan seni bina tradisional Kedah,” jelasnya lagi.

Dalam siri lawatan kerja ke Thailand, Mohd Salleh turut menghadiri ‘Media and Entrepreneur Network Building in Nusantara Region’ di Hatyai yang memfokuskan peranan Malaysia, Thailand dan Indonesia dalam kerjasama industri pelancongan dan keusahawanan bagi Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!