Muhamad Arafat enggan dedah nama ADUN pembangkang sokong kerajaan

Muhammad Arafat
Muhammad Arafat
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad tetap enggan mendedahkan nama wakil rakyat yang didakwa menyokong pentadbiran kerajaan negeri Perak meskipun dicabar Perikatan Nasional (PN) Perak.

Beliau memberi alasan kerana mahu menjaga privasi ADUN berkenaan dan tidak wajar jika nama-nama wakil rakyat itu didedahkan.

Menurutnya, jika nama-nama ADUN berkenaan didedahkan akan timbul persepsi bahawa ia sengaja diatur.

"Dalam keadaan begitu tak tepat, tak betul kalau saya yang umumkan begitu, biarlah mereka yang nak keluar umumkan sendiri. Takut macam kita pula dilihat yang susun atau atur (merancang tindakan sokong kerajaan).

"Kita menghormati (ADUN yang menyokong kerajaan) biar mereka sendiri umumkan, itu yang terbaik, itu lebih molek," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada Selasa yang mencabar Muhamad Arafat mendedahkan tiga nama ADUN yang didakwa menyokong pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Muhamad Arafat menasihati Zainol Fadzi yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak supaya memberi tumpuan kepada masalah dalaman parti bagi mengelak lebih ramai yang menyokong kerajaan.

Menurutnya, di peringkat Parlimen sendiri sudah ada lima Ahli Parlimen termasuk dari Perak yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bukan semua sokongan yang diberikan wakil rakyat disebabkan peruntukan tetapi lebih kepada kepentingan negeri dan rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Razman Zakaria akan berbincang dengan ADUN pembangkang sama ada untuk membawa Muhamad Arafat ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.

Pada Isnin, Muhamad Arafat mendedahkan sekurang-kurangnya tiga ADUN pembangkang didakwa akan memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Perak selepas menemui mereka baru-baru ini.

Beliau menjelaskan alasan diberikan oleh ADUN pembangkang itu disebabkan mereka yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat dan Saarani di peringkat negeri.

Bagaimanapun identiti ADUN yang dimaksudkan itu tidak didedahkan kepada media sebaliknya memaklumkan pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang diadakan pada bulan November dan Disember tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!