Mayat wanita disimen: Mangsa maut akibat tekanan pada leher
SHAH ALAM - Mayat wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa dekat Kampung Pendamar, Pandamaran, Ahad lalu dipercayai meninggal dunia akibat tekanan pada bahagian leher.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa berumur lingkungan 20-an hingga 30-an.
"Proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam mendapati punca kematian adalah tekanan pada bahagian leher mangsa.
"Bagaimanapun tidak dapat dipastikan punca sebenar tekanan pada leher mangsa berikutan keadaan fizikal mayat yang tidak sempurna," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujar beliau, pihaknya telah mengenal pasti dua suspek berkaitan kejadian.
"Kedua-dua suspek berkenaan merupakan warga asing yang mana salah seorang suspek dipercayai telah kembali ke negara asal pada September lalu.
"Suspek kedua pula dipercayai masih berada dalam negara dan usaha mengesan suspek masih dijalankan," katanya.
Menurutnya, enam individu termasuk jiran berdekatan lokasi kejadian telah diambil keterangan.
"Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Pada Ahad, mayat seorang wanita ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa dekat sini disyaki dibunuh lebih setahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!