Orang ramai persoal gagal tuntut eMadani
SHAH ALAM - Segelintir orang ramai mempersoalkan kegagalan dalam menerima kredit e-tunai eMadani sebanyak RM100 meskipun mereka merasakan layak mendapat inisiatif tersebut.
Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati beberapa orang ramai tidak berpuas hati dan kecewa apabila dimaklumkan gagal menuntut kredit berkenaan.
Pekerja swasta, Farina Rauf, 27, berkata, dia masih tidak dapat menuntut kredit eMadani meskipun sudah mengisi semua maklumat dengan tepat.
“Kalau ikutkan saya sudah isi semua maklumat dikehendaki dengan betul, gaji saya pun bawah RM100,000 dalam setahun, jadi saya tak pasti apa punca saya tak dapat.
“Hari pertama, tebus kredit eMadani pada Isnin, di platform Touch n Go (TnG), tapi gagal. Saya cuba platform lain hari ini iaitu aplikasi MAE dan sekarang sedang menunggu keputusan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, media sosial baru-baru ini kecoh apabila segelintir masyarakat gagal menuntut kredit eMadani sebanyak RM100.
Ada yang berpandangan kegagalan menuntut inisiatif tersebut adalah disebabkan beberapa faktor termasuk tidak melengkapkan maklumat cukai pendapatan melalui kaedah e-Filing.
Dalam pada itu, pekerja perkhidmatan pelanggan, Intan Nor Sazwani Che Ahmad, 28, berkata, dia juga turut berdepan dengan situasi sama selepas dimaklumkan gagal mendapat kredit eMadani pada Selasa.
Ujarnya, kerajaan perlu memberi penjelasan kepada mereka yang tidak dapat menuntut inisiatif kredit berkenaan.
“Klause syarat untuk memohon eMadani adalah pemohon mesti menerima gaji tahunan kurang daripada RM100,000 setahun tetapi permohonan tetap tidak berjaya.
“Ini seperti memberi harapan palsu kepada pemohon. Sekiranya syarat-syarat ini terdapat di dalam permohonan, sepatutnya poster perlu lebih ‘transparent’ (jelas) supaya pemohon boleh tahu syarat kelayakan yang sebenarnya,” ujarnya.
Sementara itu, suri rumah, Nur Zaffan D’Laila Johari berkata, dia turut kecewa kerana tidak mendapat inisiatif berkenaan walaupun sudah memohon di dua platform berbeza.
“Saya pun tidak pasti kenapa saya tidak dapat. Saya isi eMadani pada Isnin di TnG dan Shopee tetapi baru sahaja dapat makluman yang saya tidak berjaya.
“Ramai yang dapat, tetapi hakikat saya sebagai suri rumah, sudah tentu saya memerlukan bantuan eMadani itu di kala waktu sesak,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!