Individu sokong hubungan diplomatik dengan Israel diberkas

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang individu direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kenyataan menyokong hubungan diplomatik dengan Israel menerusi satu temu bual dalam media sosial, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki warga tempatan itu sebelum ini dipercayai terlibat dalam temu bual berkenaan bersama seorang pempengaruh Israel.

"Suspek berumur 36 tahun itu sebelum ini telah menyatakan sokongan berkaitan hubungan diplomatik dengan Israel menerusi temu bual berkenaan.

"Dia yang diberkas kemudiannya dibenarkan untuk direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan (D5) Bukit Aman.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sek 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes ini masih di peringkat siasatan, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan ulasan yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Menurutnya, orang ramai turut diminta agar menjadi pengguna sosial yang bijak dan tidak menggunakan aplikasi bagi maksud yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular video berkaitan temu bual seorang individu bersama pempengaruh media sosial.

Video berkenaan turut memaparkan individu terbabit yang didakwa menyatakan sokongan berkaitan hubungan diplomatik dengan Israel.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!