Tiga kali pencarian di lokasi sama, Zayn Rayyan akhirnya ditemui

Mohd Fakhrudin
Mohd Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme yang ditemui di anak sungai adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Majid berkata, selepas laporan polis diterima, pasukan mencari dan menyelamat sudah melakukan pencarian di kawasan berkenaan.

"Kita sudah melakukan pencarian, tetapi kita tidak jumpa, ia tempat yang sama. Petang tadi (Rabu) kita juga mencari di kawasan ini.

"Polis akan menjalankan siasatan disebabkan lokasi ditemui ini adalah kawasan aliran air," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Fakhrudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada agensi yang terbabit iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat yang turut bersama pasukan polis melakukan pencarian," katanya.

Pada Rabu, kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ditemui meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fakhrudin dilaporkan berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira jam 10 malam.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan ditemui kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!