‘Andai rumput tak okey, maka tak okeylah perlawanan’
KUALITI permukaan padang tidak sempurna dibimbangi menjejaskan aksi akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini.
Malah, menurut Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM), Afizal Abu Othman, situasi itu secara tidak langsung akan menyebabkan perebutan kejuaraan tertua bola sepak negara tersebut tidak menarik untuk disaksikan.
“Sejujurnya saya bimbang sekiranya insiden ketika Harimau Malaya menentang India semasa Kejohanan Pestabola Merdeka kembali berulang.
“Lebih malang ketika perlawanan sedang rancak berlangsung, terdapat di satu sudut lain pemain-pemain sibuk pula menampal semula rumput yang tercabut di kawasan tertentu di padang.
“Saya percaya sekiranya tiada konsert kumpulan Coldplay baru-baru ini, sekurang-kurangnya rumput akan matang 80 peratus untuk perlawanan akhir Jumaat ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Keadaan padang Stadium Nasional, Bukit Jalil kembali menimbulkan teka-teki menjelang final Piala Malaysia, Harimau Selatan dan skuad Penyu pada Jumaat ini.
Ia selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar terkini keadaan padang Stadium Nasional yang masih dalam proses baik pulih selepas rosak akibat konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.
Kelihatan padang itu mengundang persoalan sama ada ia benar-benar bersedia untuk aksi final berkenaan.
Dalam pada itu, menurut Afizal lagi, permukaan padang yang sempurna antara faktor penting bagi memastikan perlawanan berjalan lancar terutama melibatkan aksi final.
Tambahnya lagi, ia juga secara tidak langsung memberikan imej tahap kesiapsediaan pihak penganjur dalam menyediakan venue terbaik kepada pasukan bertanding.
“Apa yang disuarakan TMJ (Tunku Mahkota Johor) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kebimbangannya ada asasnya kerana melibatkan perlawanan besar tambahan pula aksi Piala Malaysia.
“Andai rumput tak okey, maka berkemungkinan tak okeylah perlawanan tersebut biarpun melibatkan dua pasukan terbaik Liga Malaysia.
“Keadaan permukaan padang yang tidak berada pada tahap terbaik juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain-pemain, ini juga satu kerugian kepada pasukan yang masih dibelenggu masalah kecederaan pemain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!